Terkini! Sultan Selangor tarik gelaran Najib dan Rosmah

Terkini! Sultan Selangor tarik gelaran Najib dan Rosmah

12 September 2022 ~
DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj telah berkenan mempengerusikan Mesyuarat Khas Dewan Diraja Selangor di Balai Dewan Diraja, Istana Alam Shah, Klang.

Setelah berunding dengan Ahli-ahli Dewan Diraja Selangor, Baginda telah berkenan menarik balik Darjah Kebesaran Negeri Selangor daripada 3 individu berikut :
1. YB Dato’ Sri Mohd Najib Bin Tun Abdul Razak – Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.)
2. YBhg. Datin Seri Rosmah Binti Mansor – Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S)
3. Tuan Mohd Arif Bin Ab Rahman – Sultan Sharafuddin Idris Shah (D.S.I.S.)

Penarikan balik berkuat kuasa pada 12 September 2022, selaras dengan kuasa prerogatif Baginda di bawah Perkara XXXVII dan Perkara XXXIX Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor, 1959 serta Statut Darjah Kebesaran yang berkaitan dan konvensi yang diamalkan di Negeri Selangor.

Berikut adalah kenyataan media yang dikeluarkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor bertarikh 12 September 2022 :-

KENYATAAN MEDIA
PENARIKAN BALIK DAN PENAMATAN KEAHLIAN
DARJAH KEBESARAN NEGERI SELANGOR

Bagi menjunjung titah perintah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, setelah berunding dengan Dewan di-Raja Selangor, dengan ini mengeluarkan kenyataan seperti berikut;

1. Y.B. DATO’ SRI MOHD NAJIB BIN TUN ABDUL RAZAK, telah dikurniakan Keahlian Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.) Kelas Pertama yang membawa gelaran Dato’ Seri pada tahun 2004 dan Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S.) Kelas Kedua yang membawa gelaran Dato’ pada tahun 1992.

Beliau telah didakwa di Mahkamah Tinggi di atas beberapa pertuduhan yang melibatkan kes salah guna kuasa, pecah amanah dan penggubahan wang haram ke atas dana SRC International Sdn. Bhd. Pada 23 Ogos 2022, Mahkamah Persekutuan telah mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap beliau yang telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini.

Maka dengan ini, atas sabitan dan hukuman yang telah dijatuhkan terhadap beliau, Keahlian beliau sebagai penyandang Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.) Kelas Pertama yang membawa gelaran Dato’ Seri dan Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S.) Kelas Kedua yang membawa gelaran Dato’ adalah ditarik balik dan dibatalkan berkuat kuasa pada 12 September 2022.

Penarikan balik dan pembatalan Keahlian ini selaras dengan kuasa prerogatif Baginda di bawah Perkara XXXVIII dan Perkara XXXIX Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor, 1959 serta Statut Darjah Kebesaran yang berkaitan dan konvensi yang diamalkan di Negeri Selangor.

2. Y.BHG. DATIN SERI ROSMAH BINTI MANSOR, telah dikurniakan Keahlian Darjah Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.) Kelas Pertama yang membawa gelaran Datin Paduka Seri pada tahun 2005.

Beliau telah didakwa di Mahkamah atas tiga pertuduhan yang melibatkan kesalahan meminta dan menerima rasuah. Pada 1 September 2022, Mahkamah Tinggi telah mensabitkan dan menjatuhkan hukuman terhadap beliau atas semua pertuduhan yang dihadapkan kepadanya.

Maka dengan ini, atas sabitan dan hukuman yang telah dijatuhkan terhadap beliau, Keahlian beliau sebagai penyandang Darjah Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.) Kelas Pertama yang membawa gelaran Datin Paduka Seri adalah ditarik balik dan dibatalkan berkuat kuasa pada 12 September 2022.

Penarikan balik dan pembatalan Keahlian ini selaras dengan kuasa prerogatif Baginda di bawah Perkara XXXVIII dan Perkara XXXIX Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor, 1959 serta Statut Darjah Kebesaran yang berkaitan dan konvensi yang diamalkan di Negeri Selangor.

3. TUAN MOHD ARIF BIN AB RAHMAN, telah dikurniakan Keahlian Darjah Kebesaran Dato’ – Sultan Sharafuddin Idris Shah (D.S.I.S.) yang membawa gelaran Dato’ pada tahun 2005, Darjah Kebesaran Setia – Sultan Sharafuddin Idris Shah (S.I.S.) Kelas Ketiga pada tahun 2003 dan Darjah Kebesaran Ahli Mahkota Selangor (A.M.S.) Kelas Keempat pada tahun 2001.

Beliau telah disabitkan dan dijatuhi hukuman di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan rasuah. Pada 23 Januari 2021, Mahkamah Tinggi telah mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap beliau yang telah diputuskan oleh Mahkamah Sesyen sebelum ini.

Maka dengan ini, atas sabitan dan hukuman yang telah dijatuhkan terhadap beliau, Keahlian beliau sebagai penyandang Darjah Kebesaran Dato’ – Sultan Sharafuddin Idris Shah (D.S.I.S.) Kelas Kedua yang membawa gelaran Dato’, Darjah Kebesaran Setia – Sultan Sharafuddin Idris Shah (S.I.S.) Kelas Ketiga dan Darjah Kebesaran Ahli Mahkota Selangor (A.M.S.) Kelas Keempat adalah ditarik balik dan dibatalkan berkuat kuasa pada 12 September 2022.

Penarikan balik dan pembatalan Keahlian ini selaras dengan kuasa prerogatif Baginda di bawah Perkara XXXVIII dan Perkara XXXIX Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor, 1959 serta Statut Darjah Kebesaran yang berkaitan dan konvensi yang diamalkan di Negeri Selangor.
Sekian. Harap maklum.

Yang Menjunjung Titah,
DATO’ HAJI HARIS BIN KASIM,
D.P.M.S., S.I.S., A.S.A., P.P.T.
Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor
Merangkap Pendaftar Darjah Kebesaran Negeri Selangor
TARIKH : 12 SEPTEMBER 2022