Terkini! YB ‘Babi’ kunci mulut selepas ‘dihalau’ PH

Terkini! YB ‘Babi’ kunci mulut selepas ‘dihalau’ PH

 

“NANTI saya komen, nanti saya komen,” itu jawapan ringkas Datuk Norhizam Hassan Baktee.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu itu enggan memberi sebarang komen susulan keputusan Pakatan Harapan (PH) mengesahkan beliau tidak akan bertanding atas tiket gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka nanti.

Ketika Malaysiapost menghubunginya, bekas Timbalan Pengerusi DAP Melaka itu mengunci mulutnya untuk memberi sebarang komen berhubung langkah seterusnya yang akan diambil beliau susulan keputusan PH itu.

“Ramai wartawan hubungi saya. Saya tak tahu nak kata apa, lagi pun saya ada perbincangan ni, nanti saya akan hubungi wartawan untuk beri kenyataan,” katanya.

Semalam, Majlis Presiden PH menerusi kenyataan bersama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Amanah, Mohamad Sabu serta Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mencapai kata sepakat, Norhizam tidak akan menjadi calon PH bertanding dalam PRN Melaka.

Sebelum ini, DAP secara lantang menolak Norhizam daripada menyertai PH selepas bertindak keluar dari gabungan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Norhizam juga antara punca kejatuhan kerajaan Melaka pimpinan PH pada tahun lalu apabila meninggalkan gabungan itu dan mengaku hanya menjadi barua sepanjang bersama parti berkenaan.