Tiada poligami dalam politik! Tegas Umno kepada Pas

Tiada poligami dalam politik! Tegas Umno kepada Pas

PUTERI Umno memberi kata dua kepada PAS untuk tidak mengamalkan ‘poligami’ politik atau bermain banyak kolam demi kepentingan politik mereka.

Ketuanya, Datuk Zahida Zarik Khan berkata, PAS perlu memilih satu sama ada bersama Umno dalam Muafakat Nasional (MN) atau kekal menjadi parti kompenen Perikatan Nasional (PN).

“Tiada poligami dalam politik. Pilih satu antara dua. Bersatu adalah parti picisan Umno, picisan PKR dan mereka sendiri ada sejarah pengkhianatan.

“Mereka bukan ‘taste’ kami. Kita berkali-kali beritahu PAS, kalau mahu Bersatu, bersatulah kamu. Kalau mahu kami, ayuh, mari bersama tinggalkan Bersatu,” katanya dalam ucapan dasar Persidangan Puteri sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU 2021) hari ini.

Zahida menambah, Umno tidak dapat melakukan apa-apa kerana PAS berkeras mahu kekal bersama PN seperti yang berlaku dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sarawak dan Johor.

“Gelilah kami tinggal sekolam dengan katak puru, katak pisang atau katak bentong. Sejarah mereka mengkhianati kami amat menjijikkan.

“Kalau dah memang tabiat haruan makan anak selepas ini mereka akan makan anak lagi. Kalajengking, yang tabiatnya menyengat mereka akan menyengat sesiapa pun yang boleh disengat.

“Di Melaka dan Johor, PAS sudah buat pilihan. Mereka lebih rela memeluk katak dan mandi di kolam yang penuh jengking daripada kita yang sama-sama membentuk rumah bernama Muafakat Nasional dulu,” katanya.

Menurut Zahida, Umno dan BN telah membuktikan tanpa PAS gabungan itu tidak lemah, sebaliknya menjadi lebih kuat dengan menang dua pertiga di PRN Melaka dan Johor.

“Di Melaka dan Johor kita sanggup pergi solo tanpa mereka, ia dilihat sebagai satu percaturan yang penuh risiko untuk kita, ternyata risiko ini menunjukkan kita boleh tegak dan gagah tanpa mereka,”