Tindakan Hadi Awang melabel dengan gelaran binatang ikut sunnah Al-Quran, kata Pas

Tindakan Hadi Awang melabel dengan gelaran binatang ikut sunnah Al-Quran, kata Pas

SEORANG pemimpin PAS hari ini mempertahankan Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menggunakan perbandingan berupa binatang dalam banyak ucapannya.

Bekas Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali berkata Abdul Hadi hanyalah mengikut sunnah gaya bahasa al-Quran susulan gelaran “itik patah kaki” kepada Umno baru-baru ini.

“Sekiranya beliau dituduh “ahli zoologi” bermaksud ahli ilmu tentang binatang dengan tujuan mempersenda ia seumpama memperkecilkan juga gaya bahasa al-Quran,” kata Ahli Parlimen Nerus itu hari ini.

Beliau berkata demikian susulan kenyataan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menyindir Abdul Hadi dengan mengesyorkan Presiden PAS itu menukar kerjaya kepada ahli zoologi.

Mengulas lanjut, Mohd Khairuddin berkata gaya bahasa al-Quran kaya dengan pelbagai peribahasa dan perbandingan.

Menurutnya, perbandingan merupakan acuan yang menzahirkan sesuatu makna dalam bentuk yang lebih terasa dan lekat dalam pemikiran manusia.

Bekas menteri itu menambah antara peribahasa yang banyak dalam Al-Quran ialah melibatkan binatang.

Beliau memberi contoh, Al-Quran dalam Surah al-A’raf ayat 175-176 menggambarkan manusia berilmu yang meninggalkan ilmunya tanpa amal seumpama anjing yang sentiasa menjelirkan lidahnya ketika lapar atau kenyang. Anjing adalah binatang yang najis.

Katanya lagi, dalam Surah al-Jum’ah ayat 5 dibandingkan pula golongan berilmu yang tak beramal ini dengan keldai yang menanggung bebanan yang bermanfaat.

Bahkan katanya, bahasa Melayu juga kaya dengan perbandingan binatang kerana mereka hidup di alam yang dikelilingi oleh pelbagai jenis binatang.

“Antara binatang yang sering dijadikan perbandingan dalam peribahasa ialah ubur-ubur, ikan, harimau, gajah, kera, anjing, serigala, kambing, kerbau, babi, ayam, rusa, kancil, singa, cacing, rama-rama, kura-kura, monyet, belalang, siput, arnab, merak, pipit, enggang, ular, kucing, katak, lembu, kutu, badak, kuda, dan sebagainya.

“Bagai ubur-ubur airnya hitam bermaksud daripada tingkahlaku dan bahasanya, diketahui orang itu jahat.

“Seperti ikan dalam belanga bermaksud memperoleh keuntungan yang tidak akan terlepas lagi,” katanya.