Tokoh Melayu ini kata RUU355 permulaan kepada ‘negara Taliban’

Tokoh Melayu ini kata RUU355 permulaan kepada ‘negara Taliban’

Bekas ketua pegawai eksekutif badan pemikir Sabah berpendapat bahawa dengan meluluskan pindaan ke atas Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 yang lebih dikenali sebagai RUU355, ia akan menjadi permulaan kepada sebuah negara Islam dan pelaksanaan undang-undang hudud.

Johan Ariffin Samad, yang mengetuai Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS) dua tahun lalu berkata, tidak ada rasional memperkenalkan undang-undang syariah baharu kerana perundangan sedia ada telah mencukupi dan jika dilaksanakan, Malaysia akan menjadi satu lagi negara Taliban.

“Kerajaan tidak seharusnya mencampuri urusan mana-mana agama. Rang Undang-Undang itu telah didebatkan secara mendalam dan dihujah dari segenap sudut, malah ia menyebabkan perpecahan dalam negara. Terdapat juga kebimbangan yang ia mungkin menjejaskan orang bukan Islam,” kata Johan kepada FMT.

Beliau berkata, pada 2017, pemimpin-pemimpin masyarakat sivil di Sabah dan Sarawak telah memprotes pelaksanaan untuk meningkatkan hukuman yang dicadangkan di bawah rang undang-undang itu kerana merasakan tidak ada rasionalnya bagi melakukan perubahan.

Johan berkata negeri-negeri Borneo itu percaya terhadap kebebasan beragama seperti yang dijamin ketika pembentukan Malaysia pada 1963.

RUU355 adalah Rang Undang-Undang Persendirian yang dibentang Presiden PAS Abdul Hadi Awang untuk meningkatkan bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dalam Parlimen Rabu lalu menjelaskan bahawa kerajaan akan menggiatkan usaha untuk melakukan draf rang undang-undang sebelum dibentangkan di Parlimen selepas melakukan rundingan dengan kerajaan-kerajaan negeri.

Cadangan untuk meminda rang undang-undang itu mencetuskan kekecohan di kalangan pelbagai kumpulan yang menuduh kerajaan persekutuan berusaha untuk membenarkan pelaksanaan hukum hudud sebagai sebahagian daripada Kanun Keseksaan Islam.

Johan berkata kerajaan persekutuan tidak sepatutnya membazir masa “mencampuri” urusan agama yang menjadi urusan kerajaan negeri.

“Usaha untuk melaksanakan RUU355 ini akan mencetuskan satu lagi pusingan ketidakstabilan dan kemungkinan satu lagi perubahan kerajaan memandangkan Sabah dan Sarawak kemungkinan besar akan menolaknya,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Penampang Darell Leiking berkata draf rang undang-undang itu tidak sepatutnya menyentuh hak-hak orang bukan Islam.

Bagaimanapun, beliau berkata, ia boleh diterima sekiranya pindaan RUU355 hanya untuk meningkatkan kuasa Mahkamah Syariah.

“Sebarang pindaan yang menyekat pergerakan orang bukan Islam adalah tidak wajar.”

Leiking berkata ketika ini terdapat undang-undang sedia ada yang melarang penyebaran mana-mana agama kepada orang Islam dan kedudukan Islam juga diiktiraf di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Sebarang tambahan selanjutnya (menyekat penyebaran) adalah keterlaluan dan saya menganggap sekatan tambahan ini mungkin memberi kesan terhadap hak kebebasan beragama dalam perlembagaan.

“Tidak ada masalah untuk meningkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah tetapi jangan menyekat amalan orang bukan Islam.”