Tular surat sokong Anwar PM, MCA desak Zahid letak jawatan

Tular surat sokong Anwar PM, MCA desak Zahid letak jawatan

Selepas beberapa pemimpin UMNO, kini giliran MCA pula mendesak Presiden Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Zahid Hamidi untuk meletakkan jawatan.

Setiausaha Agung MCA, Datuk Choong Sin Woon dalam satu kenyatan berkata, tindakan Zahid menghantar surat kepada Istana Negara yang menyatakan sokongan ahli parlimen BN kepada Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah bertentangan dengan apa yang diputuskan Dewan Tertinggi BN.

Malah perkara tersebut turut dibangkitkan dalam mesyuarat yang berlangsung malam tadi.

“Zahid nafi tapi mengaku selepas lihat bukti..” – Sin Woon

“Keputusan dua mesyuarat Dewan Tertinggi BN semalam ialah BN tidak akan menyokong mana-mana parti pada peringkat ini.”

“Pada mesyuarat Dewan Tertinggi malam tadi, MCA dan parti komponen BN lain turut mempersoalkan mengapa Ahmad Zahid melanggar resolusi BN. Ahmad Zahid menafikannya pada mulanya, namun kemudian mengakuinya selepas bukti dikemukakan,” katanya dalam kenyataan yang dikongsikan di laman Facebook rasmi MCA.

Tegas beliau lagi, perbuatan Zahid jelas telah melanggar keputusan kolektif Dewan Tertinggi BN yang diadakan semalam selain beliau gagal menyampaikan ketetapan yang dipersetujui Ahli Parlimen BN kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Mahu Tok Mat naik gantikan Zahid

Sehubungan itu beliau percaya Zahid tidak lagi mampu memimpin BN justeru mencadangkan Ahli Parlimen Bagan Datok itu agar berundur dan digantikan dengan Timbalan Presiden, Datuk Mohammad Hassan atau lebih dikenali sebagai Tok Mat.

“Oleh itu, saya percaya Ahmad Zahid tidak lagi mampu untuk terus menerajui BN dan meminta beliau berundur secara bermaruah dan (tugasnya) digantikan oleh Datuk Mohamad Hassan seperti yang dicadangkan ketika mesyuarat Dewan Tertinggi BN malam tadi,” katanya.

Terdahulu tular di media sosial surat sokongan Zahid menggunakan kepala surat BN yang dihantar kepada Agong menyatakan sokongan 30 Ahli Parlimen Umno agar Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10.

Surat tersebut yang tersebar dan turut dikongsikan oleh bekas Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa di laman Facebook beliau dan mempersoalkan sama ada terdap lagi cubaan untuk menipu Agong.

“Lihat perkara 4. Pengerusi BN (Zahid) mendakwa dan menyembah maklum kepada YDP Agong bahawa beliau telah mempengerusikan mesyuarat BN pada 22 November dan mesyuarat memutuskan semua 30 ahli parlimen bersetuju menyokong Anwar sebagai PM.

“Kita sebaliknya dimaklumkan BN memutuskan untuk tidak menyokong MANA-MANA CALON. Siapa yang berbohong di sini?” soal Annuar.