Tun M dedah Muhyiddin rayu minta bantuan untuk jadi PM semula

Tun M dedah Muhyiddin rayu minta bantuan untuk jadi PM semula

PENGERUSI Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta sokongannya dalam usaha untuk kembali menjadi Perdana Menteri.

Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata, pihaknya belum membuat sebarang keputusan berhubung perkara itu, memandangkan Muhyiddin juga adalah individu yang menjadi punca beliau ‘hilang’ jawatan sebagai Perdana Menteri.

“Dia (Muhyiddin) nak saya sokong dia dalam usaha untuk jadi Perdana Menteri sekali lagi.

“Saya tak tau nak kata apa (kepada Muhydidin) saya bukan (lagi) Perdana Menteri, sebab Muhyididn dia tikam belakang saya tak dapat jadi PM, lanie (sekarang) dia minta tolong orang yang (dia) tikam belakang tapi tak mati lagi,” katanya pada sidang media, hari ini.

Menurut Dr Mahathir, beliau sendiri tidak tahu mengapa Presiden Bersatu itu meminta sokongannya, sedangkan Pejuang bukan sebuah parti yang kuat dan berduit.

“Saya tak tahu tapi dia minta saya (sokong). Kami (Pejuang) tak kuat, kami tiada wang, tapi dia minta kami sokongnya,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata, beliau percaya Muhyiddin tidak memerlukan sokongan daripadanya sekiranya Ahli Parlimen Pagoh itu benar-benar yang layak untuk menjadi Perdana Menteri.

“(Namun), semasa dia jadi PM kebanyakkan orang tidak puas hati dengan kepimpinan dia, (bermakna) dia bukan PM yang baik sebab itu tidak ada sebab orang nak pilih dia semula.

“Kalau dia bagus, saya yakin dia tak perlu pertolongan daripada saya dan dia boleh menang,” katanya.

Sementara itu ditanya mengenai peluang untuk Pejuang bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Dr Mahathir berkata, pihaknya bersedia untuk bekerjasama dengan sesiapa sahaja yang menentang rasuah.

“Kita akan bekerjasama dengan sesiapa sahaja yang buat menentang rasuah,” katanya.

Semalam, media melaporkan, Muhyiddin mengadakan pertemuan bersama Dr Mahathir Mohamad bagi mengemukakan cadangan gabungan parti dalam PRU15 nanti.

Perkara itu disahkan Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Menurut Mukhriz, perjumpaan itu berlangsung sekitar dua minggu lalu selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.