Tun M mahu guna sisa hidupnya yang berbaki untuk banteras rasuah

Tun M mahu guna sisa hidupnya yang berbaki untuk banteras rasuah

BEKAS Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tekad berjuang memerangi gejala rasuah dikalangan orang Melayu.

Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu menyedari kemampuannya kini terhad dan tidak lagi mempunyai masa yang panjang, namun tidak mahu menghabiskan masa yang masih ada begitu sahaja.

“Alhamdulillah saya telah pulih dari serangan teruk ke atas kesihatan saya. Demikian semasa diserang saya putus harapan. Saya percaya masa saya sudah tiba.

“Tetapi Alhamdulillah hari ini saya kembali sihat, hampir seperti orang biasa.Saya tertanya-tanya apakah yang hendak dilakukan oleh saya dengan saki-baki kehidupan ini? Apakah ia setakat makan minum, berseronok sahaja.

“Masa tentu tidak panjang. Saya sudah berumur 97 tahun. Apakah masa yang pendek ini, harus dihabiskan begitu sahaja?” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Bekas Perdana Menteri Malaysia keempat dan ketujuh itu, berkata untuk dirinya tidak ada lagi yang diinginkan, namun sebagai orang Melayu beliau berasa terkilan kerana Melayu masih ketinggalan.

“Kita belum jadi bangsa maju. Walaupun Malaysia diiktiraf sebagai negara ‘middle income’ tetapi orang Melayu belum sampai ke tahap itu. Rata-rata orang Melayu masih miskin.

“Kemampuan saya terhad. Tidak seperti dahulu di waktu saya menjadi Perdana Menteri. Tetapi kawan saya menekan bahawa jawatan tertinggi itu tidak penting.

“Seorang yang sudah tua dan berpengalaman tidak dapat tidak sedikit sebanyak berpengaruh. Jika berminat gunakanlah saki baki pengaruh ini untuk bangsa. Untuk kebaikan bangsa saya, bangsa Melayu, apakah sebabnya mereka tertinggal,” katanya.

Dr Mahathir berkata, beliau mungkin salah berpendapat bangsa Melayu pandang ringan terhadap rasuah.

“Inilah sifat yang diguna oleh orang tertentu untuk selewengkan bangsa Melayu dari menolak yang salah.

“Tidaklah boleh dinafikan kegagalan orang Melayu disebabkan mereka mudah pilih yang tidak baik kerana mudah. Yang mudah dan dekat lebih menarik apabila membuat pilihan. Mereka tidak fikir panjang,” luahnya.

Beliau bagaimanapun tidak berhasrat untuk mengulas panjang lebar kenapa rasuah membawa mudarat.

“Bagi saya dalam jangka masa yang masih ada pada saya, ia tidak menjadi pembaziran jika saya berusaha sungguh-sungguh untuk membanteras rasuah dikalangan bangsa saya.

“Saya jemput semua orang Melayu menyertai perjuangan ini,” katanya.