Tun M tidak mahu umum calon MB Pejuang sebab tak yakin menang?

Tun M tidak mahu umum calon MB Pejuang sebab tak yakin menang?

“KITA perlu calon-calon kita menang dulu. Barulah boleh umum (calon Menteri Besar Johor),” kata Pengerusi Parti Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Jelas Dr Mahathir, Pejuang tidak akan menamakan calon Menteri Besar Johor daripada parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, setakat ini.

Sebaliknya beliau mahu calon-calon yang bertanding perlu menang dahulu dalam pilihan raya negeri.

Bagaimanapun, Dr Mahathir mengesahkan parti itu sudah mempunyai beberapa calon yang layak dan mampu memikul tanggungjawab memimpin Johor namun hanya akan mengumumkannya selepas 12 Mac nanti.

“Kita sudah ada beberapa nama tapi kita tunggu dulu. Saya harap rakyat akan memberikan peluang dan kemenangan kepada Pejuang.

“Selepas dapat kita tubuh kerajaan barulah kita akan umum calon bagi jawatan Menteri Besar itu,” katanya seperti dilaporkan MalaysiaGazette.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Aspirasi Johor di Felda Ayer Hitam petang ini.

Sebelum ini, ada ura-ura mendakwa Datuk Dr Shahruddin Md Salleh bakal mengisi jawatan itu jika parti terbabit memenangi PRN Johor kali ini.

Secara tradisinya, mana-mana ketua parti negeri akan dilantik sebagai menteri besar jika parti terbabit memenangi majoriti kerusi DUN negeri.