Ulamak Pas dakwa Umno rakus kuasa

Ulamak Pas dakwa Umno rakus kuasa

Seorang pemimpin Dewan Ulama PAS hari ini mendakwa UMNO ‘rakus’ kerusi dan kuasa apabila menawarkan hanya empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk ditandingi parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Biarpun belum ada keputusan muktamad sama ada kerjasama UMNO-PAS menerusi Muafakat Nasional (MN) akan direalisasikan dalam PRN Johor, Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama PAS Pusat, Mokhtar Senik menyifatkan tawaran UMNO itu seolah-olah melupakan jasa PAS sebelum ini.

“UMNO sudah semacam kembali dirasuk sifat asal mereka, iaitu tamakkan kuasa dan rakuskan kerusi. UMNO sudah lupa sama sekali dengan kemenangan yang mereka perolehi dalam PRK sebelum ini hasil bantuan dan pertolongan PAS.

“Namun kelihatannya tiada pawang lagi yang mampu merawat UMNO selain sebuah kekalahan,” katanya di Facebook beliau hari ini.

Beliau berkata, tidak salah untuk memberikan UMNO lebih kerusi dalam PRN Johor memandangkan ahli UMNO di Johor lebih ramai berbanding ahli BERSATU dan PAS.

“Tidak salah jika memberikan UMNO lebih kerusi berbanding PAS dan BERSATU kerana hakikatnya ahli UMNO lebih ramai daripada keahlian PAS dan Bersatu.

“Tetapi lebihan kerusi itu jangan sampai UMNO mampu membentuk kerajaan sendiri tanpa PAS dan BERSATU,” katanya.

Beliau juga mendakwa UMNO kini berasa mereka sudah kuat, biarpun hakikatnya parti itu masih belum pulih daripada kekalahan yang mereka terima pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Apa yang saya bayangkan itu ternyata benar. Itulah yang sedang berlaku kepada UMNO sekarang. UMNO dah rasa terlalu sihat sebelum rawatan selesai. UMNO dah rasa sangat kuat.

“Sekarang UMNO zaman (Datuk Seri Dr Ahmad) Zahid (Hamidi). Zaman ahli dah tak dengar kata presiden. Zaman UMNO dah bermazhab-mazhab. Zaman UMNO dah banyak klusternya. Hakikatnya UMNO belum sihat daripada tumbukan PRU-14 yang lalu.

“Pada saya, UMNO boleh dipapah dan dibantu untuk kuat tetapi tidak boleh dirawat sehingga menjadi terlalu kuat kerana bila berasa terlalu kuat, UMNO akan mula lupa dan hilang keinsafannya,” katanya.

Katanya, sepatutnya UMNO perlu menumpukan kepada usaha untuk mengukuhkan parti Melayu, UMNO, PAS dan BERSATU.

“Tapi dengan syarat jangan nak jadi ‘Abang Long’. Setakat jadi ‘Abang Ngah’ tu boleh. Belajar tawaduk dan setiakawan kerana gabungan ketiga-tiga parti gergasi orang Melayu ini sudah cukup untuk menyekat PH kembali berkuasa,” katanya.