Ultras Malaya ada lagu istimewa buat Faizal Azumu di stadium malam ini

Ultras Malaya ada lagu istimewa buat Faizal Azumu di stadium malam ini

GARA-GARA mengeluarkan kenyataan seolah-olah menyalahkan penyokong atas kekalahan Harimau Malaya di tangan Bahrain dalam aksi kempen Kelayakan Piala Asia 2023, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu teruk dikecam ramai pihak.

Terdahulu dalam kenyataan pada Ahad, Faizal berkata, faktor luaran seperti kehadiran 63,000 penonton di stadium ketika perlawanan berlangsung turut menjadi punca kerana ia boleh menyebabkan pemain negara hilang fokus.

Kenyataannya itu mendapat kritikan daripada pelbagai pihak termasuklah daripada penyokong tegar skuad kebangsaan, Ultras Malaya, lapor Majoriti.

Tidak hairanlah, kumpulan penyokong itu dihabarkan bakal memberi ‘layanan’ istimewa buat Faizal Azumu pada perlawanan berdepan Bangladesh pada Selasa.

“Kau nak chant istimewa ke? Cakaplah awal-awal Faizal Azumu..Tidak apa, anda baca dulu 63,000 penyokong nilai kat bawah ya,” kata Utras Malaya menerusi halaman Facebooknya.

Melihat kepada komen-komen pada kiriman Ultras Malaya, jelas sekali para penyokong sangat bengang dan terkesan dengan dakwaan dari menteri itu.

“Sarang tebuan jangan diusik. Bolasepak ini memang harmoni suasananya. Kalau kau kata penyokong ini bising, memekak, sampai pemain tidak boleh fokus. Itu b***h namanya,” kata penyokong Mohd Ridzwan Bin Muhamad.

Bagi penyokong Farah Puteri pula, kenyataan dari Faizal Azumu itu sangat bertentangan dengan apa yang diperkatakan dari barisan pemain dan jurulatih kerana sebelum ini pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon memuji dan berterima kasih dengan penyokong Malaysia.

“B***h betul kenyataan menteri macam ini, jenis tiada maruah orang macam ini boleh gadai negara, sanggup buat apa-apa saja untuk kepentingan diri, sokonganlah yang membuatkan semangat untuk sesebuah negara, semua pemain-pemain kesal dan terharu dgn sokongan UM07 dan peminat-peminat Malaysia, Dion Cools pun rasa kagum cuma rezeki belum berpihak kapada kita.

“Lebih terharu jurulatih KPG betul-betul fanatik dengan Ultras Malaya, tak lekang dimulut sebut sebelum ini tiada lagi jurulatih yang membimbing skuad negara yang taksub seperti KPG, orang luar boleh hormat dengan kita terutamanya UM07, peminat-peminat yang datang mengharungi hujan lebat, ini ke kenyataan seorang menteri sukan yang warganegara Malaysia, tak layak hidup di tanah tumpahnya darah ku, jatuh dan bangun tetap selamanya Harimau Malaya,” ujar Farah Puteri.

Meskipun Faizal Azumu sudah tampil meminta maaf atas kenyataannya pada Isnin, namun ramai penyokong tidak sabar mendengar chant istimewa Ultras Malaya buat Menteri Belia Sukan itu pada aksi Malaysia menentang Bangladesh di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Untuk makluman, chant adalah sejenis formasi sorakan ataupun nyanyian yang diulang-ulang oleh para penyokong sewaktu sebuah perlawanan berlangsung dan ia juga sebagai tanda sokongan kepada pasukan kesayangan mereka.

Ultras Malaya sangat terkenal dengan formasi sorakan ini dan ia terbukti dalam mana-mana perlawanan termasuk pada perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 antara Malaysia dan Indonesia, chant mereka berjaya menaikkan semangat pemain sekali gus mengagumkan penyokong serta dilaporkan banyak portal luar negara.