Umno anggap Pas berudu sebab main banyak kolam?

Umno anggap Pas berudu sebab main banyak kolam?

Seorang pemimpin Umno hari ini secara sinis menyindir pihak tertentu yang disifatkannya ‘bermain banyak kolam’ dalam politik.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Ahmad Shabery Chik, berkata mereka yang suka bermain banyak kolam umpama “berudu” yang bergantung kepada air sebagai punca kuasa.

Meskipun tidak menyebutkan mana-mana pihak, Shabery dipercayai merujuk kepada PAS dan kepimpinannya.

“Bagi yang suka bermain di banyak kolam sepatutnya kenal apa itu berudu. Hidup berudu terlalu bergantung kepada air kerana banyak makanan di situ.

“Air itu seperti kuasa. Kolam kering berudu mati.

“Berudu dalam masa beberapa minggu tumbuh kaki dan menjadi katak. Katak akan terus melompat dan mencari air untuk melahirkan lebih banyak berudu.

“Mungkin anak- anak orang bandar sahaja tak kenal apa itu berudu,” tulisnya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.

Untuk rekod Umno sebelum ini memutuskan kerjasama politik dengan Bersatu dan Perikatan Nasional (PN).

Istilah bermain “banyak kolam” merujuk langkah PAS mahu meneruskan keberadaan mereka dalam PN dan pada masa yang sama masih mahu bekerjasama dengan Umno melalui Muafakat Nasional.

Pemimpin PAS sebelum ini berkata mereka sanggup bermain ’10 kolam sekali pun’ demi perpaduan ummah.