Umno buat benda pelik, lancar jentera PRN Melaka di KL

Umno buat benda pelik, lancar jentera PRN Melaka di KL

 

BARISAN Nasional (BN) akan melancarkan jentera Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), pada jam 8 malam ini.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan mengenai pelancaran itu menerusi akaun Twitter rasminya.

Menurutnya, pelancaran jentera BN bagi PRN Melaka dibuat di Kuala Lumpur berikutan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melarang sebarang perhimpunan awam atau majlis sosial berkaitan pilihan raya di negeri itu.

“Pelancaran Jentera BN di WTCKL pada Rabu pukul 8 malam. Untuk PRN Melaka tidak dibuat di Melaka kerana SOP.

“Pakai mask (pelitup muka), jaga penjarakan, sanitizer (cecair pembasmi kuman) tangan, check suhu badan, guna MySejahtera, sudah vaksinasi dua dos dan tidak bergejala,” katanya, seperti dilaporkan Malaysiapost.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengumumkan sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya tidak dibenarkan, termasuk penganjuran majlis-majlis pelancaran jentera pilihan raya.

Beliau menegaskan ia bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan Covid-19 dan peningkatan kes dengan mendadak.

Larangan tersebut berkuatkuasa bermula 25 hingga 27 November 2021.