Umno Ketereh lulus usul sokong Ismail Sabri, kata Annuar Musa

Umno Ketereh lulus usul sokong Ismail Sabri, kata Annuar Musa

MESYUARAT perwakilan Umno Bahagian Ketereh sebulat suara meluluskan usul memberi sokongan penuh kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sehingga tamat tempoh penggal ke-14 Parlimen pada 2023.

Timbalan Pengerusi Tetap Umno Bahagian Ketereh, Mat Riffin Said membaca usul tersebut dalam mesyuarat yang dirasmikan Tan Sri Annuar Musa selaku Ketua Bahagian berkenaan.

“Menyedari Umno melalui Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kini mendapat sokongan dan mandat untuk memimpin kerajaan dan negara sekali lagi.

“Memahami negara melalui fasa pemulihan dan Perdana Menteri sedang giat melaksanakan pelbagai langkah memulihkan kembali negara dari aspek ekonomi, keselamatan rakyat, politik dan sosial berteraskan konsep dan aspirasi Keluarga Malaysia.

“Kita juga menginsafi rakyat masih belum selamat sepenuhnya daripada ancaman pandemik Covid-19 dan keselamatan nyawa serta kesejahteraan rakyat mesti diutamakan berbanding perkara-perkara lain.

“Maka Persidangan Perwakilan Umno Ketereh mengambil ketetapan menyokong penuh kepimpinan Datuk Seri Ismail Sabri dan usaha-usaha beliau untuk memulihkan kembali negara dalam aspek ekonomi, keselamatan rakyat, politik dan sosial,” katanya, seperti dilaporkan Malaysiapost.

Sementara itu, dalam ucapan perasmiannya, Annuar menjelaskan, Perdana Menteri telah membuktikan bahawa Umno sebuah parti yang memimpin, menyatupadukan dan mensejahterakan politik di Malaysia.

Katanya, ini dapat dilihat kesanggupan Ismail Sabri memimpin negara sebagai Perdana Menteri setelah runtuhnya kerajaan Perikatan Nasional Ogos lalu.

Annuar berkata, Perdana Menteri mengambil langkah menyatupadukan parti-parti politik dalam satu memorundum persefahaman demi membentuk kestabilan politik sekali gus menyelamatkan rakyat dan negara daripada ketidak ketentuan politik berpanjangan.

“Tahun 2022 tahun untuk bekerja, menunaikan janji yang tidak dapat ditunaikan oleh PH jangan jadikan rakyat mangsa orang politik yang berebut kuasa.

“Umno Ketereh memberi mandat kepada Datuk Seri Ismail Sabri sehingga tahun 2023, perlu diberi mandat untuk menjadi Perdana Menteri sehingga tamat penggal,” katanya.