Umno masih bermain tarik tali dengan Pas di PRN Melaka, ini keputusan MT Umno semalam

Umno masih bermain tarik tali dengan Pas di PRN Melaka, ini keputusan MT Umno semalam

 

Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno memberi mandat kepada Presiden, Timbalan Presiden dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk membuat keputusan sama ada bergerak solo atau sebaliknya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Menurut sumber yang juga Ahli MKT Umno berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat yang kini sedang berlangsung di Menara Dato’ Onn, Kuala Lumpur.

“MKT beri mandat kepada Presiden untuk berbincang dengan Timbalan Presiden dan Perdana Menteri untuk buat keputusan terakhir sama ada solo, dengan Muafakat Nasional (MN) atau dengan Perikatan Nasional (PN).

“Tidak ada perjanjian dengan mana-mana pihak. Cuma akan wujud persefahaman.

“Tiga pemimpin di atas akan putuskan persefahaman dengan parti mana,” katanya kepada Malaysiapost, malam ini.

Ketika artikel ini ditulis Mesyuarat MKT Umno yang dipengerusi Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sedang berlangsung.

Mesyuarat MKT Umno malam ini menjadi tumpuan kerana ia dijangka akan menentukan hala tuju parti itu dalam PRN Melaka.

Semalam, Ahmad Zahid berkata parti itu tidak akan sama sekali bekerjasama dengan Bersatu dalam PRN Melaka.

Keputusan itu katanya adalah selaras dengan keputusan Perhimpunan Agung Umno sebelum ini menamatkan kerjasama dengan Bersatu.

Bagaimanapun kata Ahli MKT berkenaan, Umno pastinya tidak akan membiarkan mereka dipatuk buat kali kedua.

“Pokoknya kenyataan Presiden iaitu Umno tidak akan dipatuk ular kali kedua,” katanya lagi.

PRN Melaka akan berlangsung pada 20 November depan dengan hari penamaan calon pada 8 November.