Umno mengaku jadi secara ‘haram’, desak PRU segera supaya dapat mandat

Umno mengaku jadi secara ‘haram’, desak PRU segera supaya dapat mandat

 

PILIHAN Raya Umum ke-15 (PRU15) perlu dipercepatkan bukan kerana kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, sebaliknya bagi membolehkan kerajaan yang mendapat mandat rakyat mentadbir negara ini.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata beliau tidak mahu kerajaan yang mentadbir negara ini tidak diiktiraf dunia sekali gus memberi kesan kepada ekonomi dan menjejaskan rakyat.

“Kalau boleh kita adakan PRU supaya memberi mandat kepada rakyat (pilih kerajaan). Apa yang saya katakan bukan kerana BN bukan kerana UMNO, tetapi saya melihat kerajaan ini mesti mendapat mandat.

“Kerajaan yang mendapat mandat daripada rakyat akan diiktiraf seluruh dunia. Itu maksud saya,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Sambutan Hari Belia Negara 2021 Peringkat Negeri Sembilan, malam tadi.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Umno berkata, sepatutnya hanya seorang Perdana Menteri dilantik bagi satu tempoh PRU, namun berbeza dengan Malaysia kerana mempunyai tiga Perdana Menteri untuk satu penggal.

“Jadi jangan anggap saya nak buat PRU ini sebab kita baru menang Melaka (PRN). Sebab kita nak pulangkan mandat kepada rakyat, kalau rakyat nak kerajaan A, kerajaan A lah,” katanya.

Mohamad sebelum dilapor mencadangkan PRU-15 perlu dipertimbang untuk diadakan dalam masa terdekat supaya kerajaan mendapat mandat baharu daripada rakyat.