Umno ‘orang lama’, jadi ‘orang baharulah’ yang jadi pemecah undi, kata Ahmad Maslan

Umno ‘orang lama’, jadi ‘orang baharulah’ yang jadi pemecah undi, kata Ahmad Maslan

 

UMNO bukan parti yang menjadi pemecah undi, tetapi serpihan parti itu iaitu Bersatu pemecah undi sebenar, kata Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Menurutnya, tidak benar untuk mendakwa Umno seperti itu sedangkan parti berkenaan konsisten membawa perjuangan rakyat meskipun berdepan pelbagai cabaran.

“Kita sudah lama dalam perjuangan Umno..Barisan Nasional (BN), mereka khususnya Bersatu adalah parti baharu dan kita pun sudah lama di satu-satu tempat itu tapi mereka yang datang.

“Bagi saya bukan kita yang pemecah undi, merekalah yang memecah undi. Bersatu misalnya adalah yang melawan Umno sebelum ini pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Jadi tak kan mereka tidak ingat sejarah-sejarah itu sedangkan ianya diingati oleh ahli Umno,” katanya ketika melawat Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bukit Terendak di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang, Melaka hari ini.

Menurutnya, Umno adalah parti yang menjadi induk di mana lahirnya parti-parti baharu, malah Umno sejak dari dahulu sentiasa padu untuk memperjuangkan nasib agama, bangsa dan tanah air sejak sekian lama.

“Ertinya tidak bolehlah mengatakan Umno sebagai ‘orang lama’ sebagai pemecah, ‘orang baharulah’ yang menjadi pemecah,” katanya, seperti dilaporkan Malaysiapost.