Umno tamak! Tak habis-habis guna modal mereka parti paling kuat

Umno tamak! Tak habis-habis guna modal mereka parti paling kuat

 

UMNO, PAS mahupun BERSATU dinasihatkan tidak mengulangi kesilapan lama yang membawa kekalahan besar di Melaka pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Ketiga-tiga parti perlu bertindak matang dengan menjalinkan kerjasama bagi menguatkan dan menyatukan orang Melayu.

Penganalisis politik, Prof Dr Ahmad Atory Hussien berkata, sikap tamak UMNO yang selalu pentingkan diri tidak harus diteruskan, sebaliknya berfikiran waras dan adil dalam isu pembahagian kerusi PRN nanti.

“Saya melihat ini semua disebabkan ketamakan UMNO sendiri, sepatutnya UMNO lebih ‘gentle’, gunakan ‘hukum faraid’ untuk selesaikan permasalahan ‘3 beradik’.

“Mungkin UMNO menganggap mereka sebagai anak lelaki yang tua dan perlu dilebihkan.

“Agihkan 7 daripada 20 kerusi kerana 6 lagi adalah hak DAP, jadi selebihnya itu bahagikan pula kepada PAS dan BERSATU supaya sama-sama merasai secara adil,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas perkembangan positif mengenai kerjasama antara UMNO, PAS dan BERSATU dalam menghadapi PRN Melaka.

Prof Ahmad Atory turut menyifatkan sikap tamak haloba UMNO sendiri menyebabkan penyatuan itu tidak diselesai terlebih awal, sebaliknya sering mengaku mereka kononnya parti yang kuat dan kukuh seperti dahulu.

Justeru, beliau menasihatkan UMNO supaya tidak mengenangkan lagi kisah-kisah lama jika mahukan penyatuan, tetapi terus dan berganding bahu untuk sama-sama berbakti kepada rakyat.

“Tidak perlu lagi timbulkan UMNO sebagai parti yang kuat dapat bela rakyat dan sebagainya, itu semua sudah berlalu, hakikatnya hari ini UMNO tidak seperti dulu lagi,” katanya.

Prof Atory juga turut menyifatkan PAS sebagai orang tengah yang banyak beralah demi penyatuan semua pihak.

“Tindakan PAS sangat matang kerana sentiasa beralah dan kekal pendiriannya untuk terus bersama Islam dan Melayu.

“Mungkin kerana itu mereka sokong UMNO tapi dalam masa sama menolak Amanah yang bersekongkol bersama DAP,” katanya.