Umno tidak akan bercinta kepada yang curang, macam Pas!

Umno tidak akan bercinta kepada yang curang, macam Pas!

UMNO tidak akan ‘bercinta’ dengan yang ‘curang’ dan suka bermain banyak kolam, kata Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Meskipun kiasan itu tidak menyebut nama, namun secara jelas ditujukan kepada rakan sekutunya dalam Muafakat Nasional (MN) iaitu PAS.

Beliau berkata, Umno tidak akan sesekali berpakat dengan parti yang secara terang-terangan ditubuhkan untuk menggantikan Umno.

Katanya, semua ini memerlukan keunggulan politik dan hikmah, bukan hanya ‘tangkap muat’ seperti pembentukan Perikatan Nasional (PN).

“Katak, sesumpah, itik, segala yang melintas dan terbang di hadapan mereka cekup dan ambil. Yang pasti, kita tidak akan mengajak berpakat parti yang secara terang-terangan ditubuhkan untuk menggantikan Umno. Apalagi DAP dengan agenda cauvinismenya.

“Dan kepada si mata keranjang, yang bermain pelbagai kolam, mendambakan keuntungan dari semua dan berasmara dengan pelbagai musuh Umno tetapi pada waktu sama cuba bercinta dengan Umno, pendirian Umno ialah ‘tidak pada yang curang’ dan ‘hanya pada yang setia’,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan persidangan tiga sayap Umno di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, malam ini.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, Umno perlu mempelopori kerjasama mentadbir negara, melalui perjanjian bersama atau yang berasaskan agenda bersama, demi masa depan.

“Cukuplah dengan penubuhan segala bentuk perikatan, barisan, pakatan dan gabungan.
Semua itu hanyalah kosmetik.

“Tidak disandarkan kepada satu agenda bersama demi Malaysia yang lebih baik. Tetapi sekadar tolak ansur politik demi mahu berkongsi kuasa.

“Umno mesti mempelopori kerjasama mentadbir negara, melalui ‘perjanjian bersama’ atau ‘coalition agreement’ berasaskan agenda bersama, demi masa depan bersama ini. Ia wajar menjadi rukun dan tiang seri yang mendasari kerjasama pembentukan Kerajaan.

“Dan setelah lima tahun, kita kembali semula kepada
pengundi dengan jalan masing-masing. Biar pengundi menentukan masa depan kita dan pencapaian kita serta memilih kerajaan seterusnya,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, walaupun Umno digelar “itik patah kaki” namun hakikatnya parti itu kini mendapat kembali sokongan orang Melayu.

Sebelum ini, Umno menjalin kerjasama dengan PAS melalui MN selepas BN tumbang dalam PRU14.

Bagaimanapun, PAS lebih memilih untuk bersama Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) dan hubungan Umno dengan PAS menjadi semakin tegang apabila bertembung dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.