Universiti tak selesa angkara pemimpin Pas lobi PhD kehormat?

Universiti tak selesa angkara pemimpin Pas lobi PhD kehormat?

 

Pejabat canselor dan dekan sebuah universiti di Lembah Klang bergoncang dan berada dalam dilema apabila seorang pemimpin besar sebuah parti politik melobi agar beliau diberikan Ijazah Doktor Falsafah (PhD)  Pengajian Islam Kehormat.

Kerja-kerja melobi ini dilakukan secara agresif oleh pejabat seorang menteri besar bagi membolehkan pemimpin mereka mendapat anugerah berprestig ini.

“Memang kuat mereka melobi untuk mendapat Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Pengajian Islam.

“Mereka melobi direct kepada dekan,” kata satu mesej yang tular di media sosial.

Sumber yang rapat dengan universiti berkenaan kemudiannya mengesahkan kepada Malaysia Dateline, memang usaha itu sedang dilakukan.

Namun yang menjadi dilema kepada mereka adalah perkara ini bakal memalukan universiti dan cendekiawan kerana rekod masa lalu dia yang menjadi punca perpecahan umat Islam dan Melayu, kata sumber itu.

“Walhal untuk ijazah kehormat ini kena ada pencalonan dan penilaian yang ketat manakala dekan pula perlu membacakan fakta-fakta dan mempertahankan kenapa anugerah ini diberikan,” kata sumber itu.

Antara tokoh-tokoh besar yang pernah mendapat anugerah doktor kehormat pengajian Islam ini adalah Sheikh Idris Al Marbawi dan Profesor Datuk Dr Abdul Shukur Hussin, bekas Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan.

Sheikh Mohd Idris al-Marbawi atau dikenali dengan al-Marbawi merupakan tokoh persuratan Arab-Melayu yang tidak asing lagi di kalangan masyarakat Malaysia dan Nusantara.

Kamus al-Marbawi yang telah dihasilkan pada tahun 1927 telah memasyhurkan beliau sehingga ke hari ini.

Yang menjadi dilema kepada permohonan ini juga adalah pimpinan pengajian Islam universiti berkenaan tidak selari fahaman politiknya dengan pemimpin berkenaan.

“Mereka yang selalu mengecam sikap beliau dengan memberikan fakta-fakta kajian yang telah mereka buat sebelum ini.

“Tiba-tiba sekarang dilobi agar memberikan doktor falsafah pula kepada beliau. Kalau tidak diberi susah juga sebab sekarang mereka duduk dalam kerajaan yang memerintah.

“Tak ke pening tu,” kata sumber itu kepada Malaysia Dateline ketika mengulas usaha melobi ini yang dilihat semakin agresif.