Untung! Angkara kesilapan bank, dua murid jadi jutawan segera

Untung! Angkara kesilapan bank, dua murid jadi jutawan segera

Penduduk di kampung Bihar Katihar bergegas ke mesin pengeluaran wang automatik (ATM) bagi menyemak baki akaun selepas dua murid sekolah mendapati akaun bank mereka ‘dipenuhi wang’ dengan jumlah besar.

Disebabkan itu, penduduk kampung mengharapkan nasib serupa menimpa mereka.

Murid sekolah tahun enam itu mempunyai akaun bank di Bank Uttar Bihar Gramin.

Utusan melaporkan, mereka sememangnya akan mendapat beberapa bantuan wang tunai menerusi skim kerajaan bagi membeli pakaian seragam sekolah dan pembayaran perbelanjaan berkaitan.

Murid tersebut bersama ibu bapa mereka menuju ke pusat internet awam di kampung tersebut bagi menyemak sama ada duit tersebut sudah diterima.

Mereka terkejut apabila mendapati sejumlah wang yang terlalu besar di dalam akaun.

Guru Charan Vishwas menjadi jutawan sekelip mata apabila mendapati sebanyak sembilan bi­lion rupee (RM510 juta) di dalam akaun simpanan, sementara seorang lagi murid, Ashish menerima 62 juta rupee (RM3.5 juta) dalam akaun bank simpanan masing-masing.

Ketua kampung mengesahkan perkara itu dan pihak bank sedang menjalankan siasatan terhadap transaksi tersebut.

Ini merupakan kejadian kedua melibatkan transaksi sejumlah wang yang besar ke dalam akaun pelanggan di Bihar sejak kebelakangan ini.

Baru-baru ini, seorang lelaki di Patna dihukum penjara kerana tidak mengembalikan semula sejumlah wang yang dikreditkan ke dalam akaunnya secara tidak sengaja.