Ustaz Pahrol Juoi dedah ada pendakwah tak puas hati penulisannya melawan rasuah

Ustaz Pahrol Juoi dedah ada pendakwah tak puas hati penulisannya melawan rasuah

DI SANALAH TINTA SAYA BEREHAT

Rasa sedih pun ada, kecewa pun ada. Sahabat lama (yang dulunya satu perjuangan) menelefon. Dia menegur, malah semacam melecehkan.

“Berhentilah daripada menulis yang sia-sia.”

“Sia-sia. Aku cuba menyeru pada kebenaran dan mencegah kemungkaran.”

“Hi..hi.. kau jadi alat tanpa sedar.”

“Jadi alat siapa?

“Jadi alat musuh yang nak menjatuhkan bangsa dan agama…”

Itulah kata-awalan seorang sahabat yang dulunya begitu akrab.

“Kau kata rasuah ini hanya gempar-gempur bukan kenyataan?”tanya saya.

Dia tidak senang dengan tulisan-tulisan saya yang anti rasuah.

“Ya. Adalah sedikit tetapi tidaklah seserius yang dipaparkan seperti sekarang.”

Sedikit? bisik saya dalam hati mempersoalkan. Selama hampir 30 tahun saya menjalankan program latihan dan memberi tazkirah hampir 300 buah organisasi kerajaan dan swasta, yang besar dan kecil, saya berani menegaskan ‘lemah integriti’ adalah masalah utama di seluruh ranting organisasi – atas, pertengahan dan bawahan.

Integriti bukan soal salah guna wang sahaja tetapi juga melibatkan salah guna kuasa, curi tulang dan curi masa, pilih kasih dan sebagainya. Orang besar, cara orang besar, orang kecil juga tidak kurangnya. Rasuah atau tidak berintegriti hampir-hampir jadi budaya.

Maksudnya sudah diamalkan oleh ramai orang di setiap situasi dan kondisi. Namun, aneh, sahabat saya yang punya ilmu yang tinggi dan pengalaman ini seolah-olah tidak melihatnya.

“Jangan jadi lembu yang menanduk tembok. Dalam perjuangan kita perlu tahu awlawiyat, tahu keutamaan.”

“Apa keutamaan mu?” tanya saya.

“Jangan jatuh segalanya kepada musuh.”

“Jadi, perlu terus salahkan musuh? Tanpa kita sendiri memperbaiki diri?” tanya saya.

“Tapi usaha mu tak ke mana. Era kau sebagai penulis yang berpengaruh telah berlalu,” tusuknya tanpa berselindung.

Saya senyum.

“Sahabat, aku bukan lembu. Dan di depan ku bukan tembok. Aku daie tua yang tidak tega melihat agama dan bangsa ini dihancurkan oleh kemungkaran rasuah. Dan Allah tidak akan bertanya tentang ‘kesan’ tetapi tentang apa yang kita telah lakukan.”

“Kenapa kau bersungguh sangat? Ada personal problem?”

Tidak henti-henti dia melakukan provokasi. Wataknya tidak begitu dulu. Mungkin dia yang berubah atau saya yang berubah… hingga menyebabkan caranya menghadapi saya berubah.

“Rasuah ini persoalan amanah. Amanah ini berkait iman. Tanpa iman, tidak ada sifat amanah. Ini soal serius. Bukankah selalu aku tuliskan, ada iman ada amanah, ada amanah ada aman. Kita tidak akan menikmati keamanan di dunia, lebih-lebih lagi di akhirat tanpa amanah,” tekan saya sungguh-sungguh.

Dia mencebik, lalu berkata, “yang penting kestabilan…”

“Kestabilan dalam kebatilan? Aman dalam kemungkaran?” balas saya.

“Apa maksud kau?”

“Sahabat, rasuah ini adalah kenyataan. Kenyataan yang pahit. Sedih dan sakit. Aku bertemu ramai orang-orang yang benar-benar jujur dalam pelbagai organisasi. Golongan pengurusan dan pelaksana yang tidak mempunyai kepentingan kuasa, nama dan harta. Mereka yang jujur berbakti. Golongan wira yang tidak didendangkan… ya. Merekalah inilah yang melihat, mendengar dan mencium busuknya rasuah dari dekat namun tidak mampu kerana mereka terikat…”

“Terikat oleh siapa?”

“Budaya! Budaya rasuah.”

“Maksudnya?”. Dia bertanya. Suaranya mula tinggi.

“Apabila rasuah diamalkan dengan pelbagai jenama. Apabila perasuah dianggap ternama. Dan kewajarannya ‘ditakwil’ dengan pelbagai hujah dan dalil, maka rasa bersalah, rasa malu, rasa jijik sudah semakin hilang dalam hati nurani bangsa ini. Padahal, pemberi dan penerima rasuah dilaknat oleh Allah dan Rasul. Ironinya, label laknatullah dianggap megah?”

“Jangan lebih-lebih. Firaun sahaja yang layak dilabel laknatullah, kau melampau..,”

“Hadis yang menyatakan begitu,” kata saya perlahan.

“Kau bukan pejuang. Kau penulis. Kaki teori.”

“Tak pa jika kau kata begitu. Mungkin mata pena ku tak setajam mata pedang. Kata-kata ku juga bukan peluru yang boleh menembusi insan yang beribu. Aku hanya daie tua. Bukan seperti kau, pejuang ang kini semakin ternama. Namun, aku juga punya rasa cinta…”

“Kau ‘jealous’ sebenarnya. Seperti serigala, tak dapat anggur, masam katanya.”

“Rasuah itu anggur yang memabukkan. Aku tidak terliur. Semakin banyak diteguk, semakin sukar untuk sedar.”

“Aku kasihan pada mu. Daripada seorang yang berjiwa ala-ala sufi kini bertukar jadi pemberontak. Jangan bertukar jadi ‘terorist’ pula nanti!”

“Kau terlupa pada kisah-kisah para sufi yang menegur para penguasa? Aku bukan sufi. Ala-ala pun tidak. Cuma minat dan cuba mengikutinya. Mereka berjiwa hamba, tetapi tidak melupakan tugas sebagai khalifah. Ibadah ritual mereka membuahkan nilai spiritual dan akhirnya memberi kesan kepada hubungan sosial mereka.”

“Oh, tak mahu jadi syaitan bisu…”

“ Syaitan musuh kita. Tetapi ada syaitan di kalangan manusia yang lebih berbahaya…”

“Siapa dia?”

“Syaitan yang licik berkata-kata,” tegas saya.

“Tumpukan sahaja pada soal tazkiyatun nafs. Bersihkan jiwa.”

“Makanan yang bersumber daripada rasuah mengotori jiwa!”

“Tumpu sahaja kepada soal akidah.”

“Bukankah rasuah itu akibat lemah iman. Goyah akidah.”

“Jangan bersuara kerana derhaka.”

“Aku bersuara kerana cinta…”

Kami berpisah. Fikiran dia dan saya noktah di titik ‘mufarakah’. Mungkin saya tidak mengetahui apa yang dia tahu dan dia juga tidak mahu tahu apa yang saya tahu. Dalam ruang ‘messenger’ sudah banyak yang meluahkan rasa letih, sedih dan marah mereka tentang rasuah tetapi tidak dapat berbuat apa-apa.

Mereka marhein dan ‘orang bawah’ seperti saya juga. Saya rasa ‘bacul’ kerana tidak mampu berbuat apa-apa. Ini zaman fitnah… ketika kemunculan Dajjal sudah diambang pintu.

Lama saya berfikir. Tulisan saya hanya kecil. Tidak pun sampai ke mana-mana apalagi ke tangan yang berkuasa. Ya mungkin, mungkin… selepas ini saya hanya bersuara lewat doa kepada yang Maha Berkuasa. Di sanalah tempat tinta saya berehat. Penat.

Pahrol Mohamad Juoi