Vaksin: Mufti Selangor kata wajib taat arahan kerajaan

Vaksin: Mufti Selangor kata wajib taat arahan kerajaan

Penduduk di negara ini wajib mentaati perintah kerajaan berhubung pengambilan vaksin Covid-19 yang ditetapkan terutama melibatkan kakitangan awam.

Mufti Selangor, Datuk Dr. Anhar Opir berkata, ketetapan itu dibuat menerusi Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali Ke-1/2021 yang bersidang pada 9 Februari lalu dan turut mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Berdasarkan fatwa berkenaan, beberapa perkara perlu difahami oleh masyarakat yang mana hukum harus kepada orang awam adalah merujuk kepada pilihan sendiri sama ada ingin mengambilnya atau tidak.

“Hukum wajib pula merujuk kepada kemestian tanpa sebarang pilihan yang memberi implikasi berdosa jika tidak mengambilnya ke atas golongan yang ditetapkan oleh kerajaan.

“Kerajaan adalah bermaksud kerajaan Malaysia, kerajaan negeri atau ketua agama negeri termasuk pihak berkuasa yang dilantik,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Mengulas lanjut, Anhar berkata, berdasarkan penjelasan fatwa berkenaan, sesiapa yang telah ditetapkan oleh Uli al-Amri (pemerintah) bagi mengambil vaksin Covid-19 adalah wajib untuk mendapatkannya.

“Ini termasuk semua guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), pegawai masjid dan jurunikah di negeri ini dan seumpamanya,” katanya, lapor Utusan.

Terdahulu, Sultan Sharafuddin menzahirkan rasa dukacita apabila dimaklumkan hanya 203 daripada 873 orang guru KAFA, pegawai masjid dan jurunikah di Selangor hadir pada program vaksinasi khas Covid-19 Frontliner Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Oleh itu, baginda juga bertitah akan meneliti senarai golongan terbabit yang enggan menerima suntikan vaksin dalam program berkenaan.