Walau curang, Tuan Ibrahim kata Pas takkan keluar Muafakat Nasional
PAS tidak berhasrat keluar daripada Muafakat Nasional (MN) selepas berlaku konflik pengagihan kerusi dengan Umno dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Sebaliknya, Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, parti itu akan terus memperkasa MN yang menjadi medan besar penyatuan ummah dan yakin keputusan PRN Melaka akan menjadi sebahagian perancangan parti itu pada masa depan.
“Tiada siapa nak keluar (MN) saya rasa kecuali dibubarkan (sehingga setakat ini) tiada niat nak bubar.
“Saya fikir Muafakat Nasional ini agenda besar, macam saya sebut semalam ia (MN) muafakat ini penyatuan ummah, ia bukan parti berdaftar (sebaliknya) ia gabungan.
“Kita harap kita balik pada asal (dan) kita terbuka (bekerjasama) termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan sebagainya tetapi dalam konteks pilihan raya, kalau apa pun berlaku, Barisan Nasional (BN) akan bertanding atas tiket BN dan kita harap bahawa pertemuan, perbincangan dapat diteruskan dari masa ke semasa,” katanya memetik BH Online.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-67 hari ini.
Ditanya mengenai kenyataan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang menyifatkan MN yang ditubuhkan untuk memperkukuh kuasa politik Melayu sudah berkubur, Tuan Ibrahim menolak dakwaan itu dan menjelaskan pemimpin itu tidak terbabit dalam MN.
Ketika ditanya hubungan dengan Umno selepas berlaku pertembungan kerusi di PRN Melaka, Tuan Ibrahim berkata hubungan di peringkat kerajaan Pusat tetap lancar.
“Dalam konteks kerajaan, kita berjalan macam biasa, tidak ada masalah dan Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob) sudah umum bahawa parti-parti yang turun bertanding dalam konteks parti.
“Daripada segi perjalanan kerajaan, kita rasa tidak ada isu sangat, kerajaan Pusat berjalan dengan biasa dan Insya-Allah, mudah-mudahan perjalanan PRN juga kita harap tidak ada isu-isu yang tidak diingini berlaku,” katanya.