Walau dapat jawatan Duta Khas, Hadi kata tidak pejam isu rasuah wang dan pangkat

Walau dapat jawatan Duta Khas, Hadi kata tidak pejam isu rasuah wang dan pangkat

PAS menolak sesiapa sahaja yang mengambil pendekatan yang terpesong daripada konsep ta‘awun yang berlandaskan petunjuk al-Quran.

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, berkata parti itu tidak akan memejamkan mata terhadap kemungkaran seperti rasuah, politik wang, mahu jawatan, salah laku dan salah urus.

Beliau berkata, PAS tidak akan sesekali meraikan kemungkaran semata-mata kerana mahu menjaga hati dan kepentingan yang salah dengan meninggalkan prinsip, adalah konsep ta‘awun (kerjasama) yang salah dan berdosa.

“PAS tetap tegas tidak mengadakan sebarang kerjasama dalam perkara dosa seperti meneruskan permusuhan dan menyembunyikan dosa tanpa insaf dan taubat. Parti ini sekali-kali tidak boleh diheret keluar daripada landasannya.

“Pendekatan ta’awun siyasi ini dilaksanakan oleh PAS menjadi konsep hubungan dengan semua pihak sebagai sempadan bagi menyelamatkan keadaan,” katanya menerusi tulisan Minda Presiden PAS, hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, Umno bersama Barisan Nasional (BN) jatuh daripada Kerajaan Pusat, yang mana sebahagian Ahli Parlimen parti itu bertindak keluar parti.

Malah, katanya ada sebahagiannya sejak awal lagi menyelamatkan diri dengan menubuhkan Bersatu dan ada pemimpin Umno yang kemudiannya menyertai parti baharu tersebut.

“Usaha yang dilakukan pada mulanya untuk bersama-sama menyelamatkan semua dengan membentuk gagasan yang akhirnya dinamakan Perikatan Nasional (PN).

“Perkara tersebut adalah bertitik tolak daripada Kongres Maruah Melayu yang dirancang sejak awal, diikuti dengan menggabungkan masyarakat majmuk daripada pelbagai agama dan parti,” katanya.

Jelas Abdul Hadi lagi, susulan itu gagasan Muafakat Nasional (MN) yang menggabungkan parti-parti Melayu Islam terbesar yang terdiri daripada Umno, PAS dan Bersatu dibentuk sehingga gabungan itu berjaya menukar kerajaan yang memerintah.

“Akan tetapi, malangnya ada kalangan mereka yang membawa agenda persendirian dengan matlamat mahu mengubah agenda perpaduan umat kepada tujuan yang tersirat.

“Namun, perkara itu terdedah sehingga merosakkan dasar dan hala tuju sebenar yang tersurat,” katanya.

Bagaimanapun, Abdul Hadi berkata, PAS tetap berpegang kepada apa yang tersurat dan telah ditandatangani.

Katanya, perkara ini diulang beberapa kali dalam tulisan ‘Minda Presiden PAS’ yang lalu, bahawa parti itu telah mengambil pendekatan politik ta‘awun yang diputuskan oleh al-Quran hasil Muzakarah Majlis Syura Ulama.

Sementara itu, Abdul Hadi berkata, PAS tetap beristiqamah atas prinsip tersebut, walaupun kehilangan kerusi, termasuk pernah dikeluarkan daripada kerajaan negeri dan kerajaan Pusat.

“Perjalanannya masih jauh, kerana wawasannya tidak tamat dalam kehidupan di dunia sahaja.

“PAS tidak hilang dengan matinya pemimpin, dan ahlinya tidak lemah dengan sebab terdapat kalangan yang menyeleweng atau berhenti di tengah perjalanan kerana niat yang salah masuk PAS sekadar menumpang bukan berjuang.

“PAS tidak rebah dengan sebab kekalahan dalam beberapa kali pilihan raya, kerana perjalanannya belum selesai dan belum sampai ke garisan penamat,” katanya.