Walau produk tak berdaftar, ubat perangsang seks mendapat permintaan yang tinggi di Malaysia

Walau produk tak berdaftar, ubat perangsang seks mendapat permintaan yang tinggi di Malaysia

Kerana mahukan badan yang sihat serta cantik segelintir pengguna sering kali terpedaya dengan promosi produk yang kononnya ubat-ubatan yang dijual oleh mereka mampu membantu dan menyembuhkan sesuatu penyakit serta berkesan jika digunakan.

Malah lebih buruk lagi apabila ada yang mengamalkan ubat tersebut sehingga berbotol-botol tanpa membuat sebarang pemeriksaan sama ada ia berdaftar dengan pihak berwajib seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atau pun tidak.

Trend jual produk tidak berdaftar berleluasa masa PKP

Penjualan ini menjadi semakin berleluasa sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lepas.

Susualan dengan isu tersebut, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) kini giat membanteras aktiviti penjualan produk-produk ini termasuk pemantauan di media sosial.

Ubat perangsang seks dapat permintaan tinggi

Menurut Pengarah JKNT, Datuk Dr.Kasemani Embong ubat perangsang seks adalah antara produk tidak berdaftar yang telah mendapat permintaan tinggi.

“Ubat itu biasanya dicampur dengan racun berjadual seperti sildenafil yang boleh memberi risiko kehilangan penglihatan dan pendengaran, strok di sampaing serangan jantung,” jelasnya kepada pemberita.

Sementara itu, beliau berkata sepanjang tahun 2020 hingga 2021 sebanyak 1,287 ubat tidak berdaftar serta kosmetik yang tidak bernotifikasi yang berjumlah lebih RM1.1 juta telah dirampas.

Tambah Kasemani lagi, pada tahun 2018 hingga 2019 pula, 1,814 jenis barangan tersebut telah dirampas dan membabitkan nilai berjumlah RM2.14 juta.

Siasat di bawah Akta Jualan Dadah 1952 jika jual produk tidak berdaftar dan tidak bernotifikasi

“Kita ingin memberi peringatan yang pemilikan dan penjualan produk tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi boleh disiasat mengikut Akta Jualan Dadah 1952.

“Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM25,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” kata Kasemani.