Walau rakyat kritik teruk, Hadi tetap anggap kabinet kerajaan cemerlang
Presiden PAS Abdul Hadi Awang berpendapat tiada keperluan untuk Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob melakukan rombakan kabinet buat masa sekarang.
Menurutnya barisan kabinet yang ada sedang menjalankan tugas dengan baik.
Pun begitu ahli parlimen Marang itu mengakui Ismail Sabri berhak melakukan rombakan kabinet jika berasakan ada keperluan untuk berbuat demikian.
“Sehingga ini saya rasa tidak perlu (rombakan kabinet)… Ia masih menjalankan tugas dengan baik.
“Kecuali kita mendapat maklumat-maklumat ataupun perlu kepada rombakan (untuk) penambahbaikan. Itu terpulang kepada perdana menteri.
“Tetapi sehingga kini saya tidak nampak (keperluan untuk rombakan kabinet),” katanya ketika ditemui media di Rusila, Kuala Terengganu hari ini.
Tambah Abdul Hadi perdana menteri biasanya akan berbincang dengan pemimpin parti gabungan sekiranya berasa ada keperluan untuk membuat rombakan kabinet.
Baru-baru ini portal berita Suara TV melaporkan Ismail Sabri akan melakukan rombakan kabinet ekoran prestasi yang ditunjukkan sesetengah menteri ketika mengendalikan banjir besar yang melanda negara.
Sokong tangguh umrah
Laporan portal berkenaan – yang memetik sumber – mendakwa antara menteri yang terbabit ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Abd Latiff Ahmad; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Rina Harun; serta Menteri Perpaduan Negara Halimah Sadique.
Bagaimanapun, sumber yang dekat dengan perdana menteri memaklumkan Malaysiakini bahawa laporan berkenaan sekadar spekulasi.
Ismail Sabri kemudiannya turut menafikan laporan mengenai rombakan kabinet.
Ditanya mengenai keperluan kerajaan melantik timbalan perdana menteri, Abdul Hadi berkata, terpulang kepada Ismail Sabri untuk menentukan sama ada ia wajar dilaksanakan atau sebaliknya.
“Terpulang kepada perdana menteri, sebab perdana menteri yang jalankan tugas, bukan saya,” katanya.
Sementara itu ditanya mengenai keperluan menangguhkan kebenaran mengadakan umrah, Abdul Hadi berkata ia adalah langkah wajar dan menyokongnya.
Duta khas perdana menteri ke Timur Tengah itu menegaskan, larangan tersebut selaras dengan tuntutan Islam yang meletakkan kepentingan nyawa sebagai keutamaan.
“Dalam sejarah Islam, solat Jumaat di Majid Nabawi pun pernah ditangguhkan, di Makkah kerana sebab wabak,” katanya.
Namun Abdul Hadi mengakui larangan tersebut akan menjejaskan ahli perniagaan serta syarikat yang menguruskan jemaah umrah.
Dalam keadaan sekarang, katanya, mereka wajar mengutamakan keselamatan nyawa manusia berbanding keuntungan.
“Cuma orang berniaga dia kira duit, dalam Islam benda yang perlu pada manusia ialah agama, nyawa, akal, duit. Duit kemudian (akhir sekali),” katanya lagi.