Walau rakyat teruk desak, kerajaan tetap anggap Azam Baki perlu kekal

Walau rakyat teruk desak, kerajaan tetap anggap Azam Baki perlu kekal

TIADA keperluan untuk menggantikan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki yang sebelum ini terpalit dengan kontroversi berhubung isu pemilikan sahamnya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata semua pihak perlu menerima keputusan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) yang menjelaskan tidak ada kes terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM berhubung akaun dagangan miliknya.

“Keputusan SC berdasarkan hasil siasatannya perlu menjadi panduan dan tiada keperluan terhadap tindakan menggantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM buat masa ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis bagi menjawab soalan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (BN-Machang) di Dewan Rakyat.

Wan Junaidi menegaskan isu saham dipertikaikan banyak pihak termasuk pembangkang yang membabitkan Azam sebenarnya sudahpun selesai.

Katanya, isu itu juga sudah diputuskan dan tiada kes inkuiri oleh pihak SC.

“Oleh demikian, tiada keperluan lagi isu pemilikan saham oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM ini dipertikaikan. Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga mendapati tiada isu yang perlu disiasat kerana ia bidang kuasa SC.

“Ketua Pesuruhjaya SPRM juga sudah mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang memfitnah beliau dan kes sedang dalam peringkat mahkamah dan sebarang ulasan kes ini akan menimbulkan subjudis,” katanya

Beliau berkata, Azam juga sudah pun melalui beberapa pemantauan peringkat dalaman oleh jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Panel Penasihat SPRM (LPPR), Jawatankuasa Mencegah Rasuah Parlimen (JKMR) serta Jawatankuasa Aduan.

“Oleh yang demikian, semua pihak perlu menerima keputusan SC yang menjelaskan tidak ada kes terhadap KP SPRM berhubung akaun dagangan miliknya.

“Justeru, keputusan SC berdasarkan hasil siasatannya perlu menjadi panduan dan tiada keperluan terhadap tindakan menggantikan KP SPRM buat masa ini,” katanya.