Walau tak hensem, DDNK dapat isteri cantik

Walau tak hensem, DDNK dapat isteri cantik

“Pada mulanya dia tak suka saya, mungkin sebab dah tua.” Demikian kata Pakar Pelaburan Saham, Pengurus Kewangan Bertauliah dan Penganalisis Ekonomi, Datuk Dr Mohd Nazri Khan Adam Rasol Khan, 47, yang menamatkan zaman dudanya kelmarin.

Menurut Harian Metro, Mohd Nazri selamat bernikah dengan Tuan Nor Ernie Rossmeris Tuan Zahari, 25, yang juga pelajarnya.

Beliau yang mesra disapa DDNK dan popular menerusi tagline ‘Tak Handsome Tak Apa Janji Kaya’ selamat bernikah kelmarin, sebelum diraikan pada majlis gilang-gemilang di sebuah hotel di ibu kota, semalam.

Mohd Nazri berkata, bukan mudah untuk menambat hati isterinya itu kerana perbezaan umur yang jauh antara mereka.

“Beza umur kami 22 tahun. Bukan mudah nak tawan hatinya. Tapi Alhamdulillah kami selamat bernikah pada Jumaat. Sebenarnya hari ini (semalam) genap setahun kami berkenalan.

“Kami berkenalan ketika saya menyampaikan satu ‘talk’ di sebuah universiti. Asalnya saya mengajar saham. Tapi apabila dah lama kenal, saya jumpa keluarganya. Kiranya, jumpa September tahun lalu dan Februari kami mulai serius. Jadi, lebih kurang tujuh bulan saja perhubungan kami sebelum ambil keputusan berkahwin,” katanya.

Menurutnya, dia jatuh cinta pandang pertama dengan isterinya kerana lemah lembut dan keperibadian dimiliki.

“Isteri sangat manja, dia pelajar, dengar cakap dan mudah dibentuk. Jadi saya rasa macam ada satu pengecualian dalam hidup saya sebagai orang korporat. Apabila jumpa dia, kami tak bincang mengenai dunia korporat. Jadi, ia lain daripada kehidupan saya.

“Pada mula saya tengok dia, saya suka dia sebab kelembutan dimiliki dan dia manja. Kami macam ada keserasian terus dan tak rasa saya ni macam orang tua. Bagi saya, beza umur ni tak ada masalah dari awal berkenalan. Saya tak pernah jumpa budak muda yang boleh berborak dengan orang tua macam saya macam kawan-kawan,” katanya.

Dalam masa sama, Mohd Nazri berkongsi itu adalah perkahwinan kedua buatnya selepas berpisah dengan isteri pertama.

“Ini perkahwinan kedua saya. Secara rasmi, hidup menduda sekejap saja. Kalau tak rasmi dah lama tak tinggal bersama dan tak sehaluan tu sudah setahun,” katanya.