Walau telah memalukan negara, UMNO tetap anggap Najib aset parti

Walau telah memalukan negara, UMNO tetap anggap Najib aset parti

MESKIPUN ditakdirkan Datuk Seri Najib Razak tidak dapat bertanding pada pilihan raya umum akan datang, namun beliau masih merupakan aset berharga Umno.

Perkara itu diakui Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Johor Datuk Nur Jazlan Mohamed yang berkata, bekas Perdana Menteri itu masih memiliki pengaruh yang kuat selain disukai dalam kalangan rakyat.

Beliau berkata, kelebihan itu perlu digunakan Umno bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Nur Jazlan berkata, kudrat dan idea bekas Presiden Umno itu amat ditagih sekali gus  dapat terus membantu parti bagi menghadapi PRU15 walaupun Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya.

“Secara efektifnya, Najib tidak dapat lagi bertanding pada PRU15 berikutan keputusan Mahkamah Rayuan itu, namun saya berharap beliau akan terus bantu parti menghadapi pilihan raya.

“Najib masih ada pengaruh kuat dalam kalangan rakyat dan beliau masih aset parti. Umno pun sayangkannya dan seharusnya beliau terus diberi peranan berkhidmat dan membantu parti,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian, hari ini.

Rabu lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman ke atas Najib membabitkan kes dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati Mahkamah Tinggi membuat keputusan yang betul dan tidak terkhilaf apabila mensabitkan Najib terhadap tuduhan itu.

Ditanya kebimbangan mengekalkan Najib akan memakan diri dan mencalarkan imej Umno, Nur Jazlan menafikan perkara itu dan mengatakan ramai pihak mendakwa perbicaraan 1MDB sebagai berbaur politik.

“Keputusan mahkamah itu tidak bermakna rakyat akan tolak Najib kerana beliau masih aset kepada Umno.

“Bagi saya tidak salah untuk menggunakan pengaruh Najib sebagai penguat dan penyokong parti,” katanya.