Walaupun malu, Tun M akan terus ratib nama Najib
PENGERUSI Parti Pejuang Tanah Air (Perjuang) Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui malu untuk ‘meratib’ nama bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang didakwanya memalukan negara, bangsa dan agama.
Ahli Parlimen Langkawi dan bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau ‘terpaksa’ meratib nama berkenaan bagi menyekat Najib kembali berkuasa.
“Sebenarnya, saya amat malu “meratib” nama Najib, dia memalukan negara, bangsa dan agama. Malangnya dia sendiri tidak malu malahan berpura-pura seolah-olah dia teraniaya termasuk oleh saya.
“Dia berharap rakyat Malaysia akan percaya dia tidak bersalah dan sebenarnya adalah mangsa penganiayaan saya dan musuh-musuh politiknya,” katanya dalam surat keduanya kepada pengundi Johor yang bertarikh semalam.
Dr Mahathir berkata, ada yang terpengaruh dan percaya serta tampil mempertahankan Najib, malah sanggup memanggilnya ‘Boss’ dan cium tangannya.
Beliau mendedahkan, sebelum berlakunya skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) beliau menyokong Ahli Parlimen Pekan itu, malah memberi tekanan kepada Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika itu untuk melantik Najib sebagai Timbalannya.
“Selain percaya Najib layak saya juga merasa terhutang budi kepada bapanya (Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein) kerana dia telah membantu kerjaya politik saya.
“Malangnya Najib bukan seperti bapanya, Tun Razak seorang nasionalis pejuang bangsa yang bermaruah. Najib pula mencuri wang negara dengan bantuan Jho Low,” katanya.
Menurutnya, akhbar luar negara menggelar Najib ‘Plundering Idiot’, atau dalam bahasa Johor bermaksud penyamun ‘tongong’ dan Mahkamah Rayuan pula menghukumnya sebagai orang yang memalukan negara.
“Walaupun begitu, Najib masih tidak malu dan sedang berusaha untuk mendapatkan kembali kekuatan politik. Dia percaya dengan memegang kembali kuasa politik, dia dapat lepas dari hukuman.
“Dia perlu disekat kerana jika dia kembali berkuasa, ini bermakna negara akan dikuasai dan ditadbir oleh seorang kleptokrat dari kluster mahkamah untuk disamun dan dirompak,” tegasnya.
Dr Mahathir berkata, beliau tiada dendam peribadi terhadap Najib dan semasa skandal 1MDB sedang memuncak, adiknya sendiri Tan Sri Nazir yang menulis panjang lebar mendedahkan skandal berkenaan secara terperinci.
“Saya akan terus ratib nama Datuk Najib ataupun sesiapa sahaja yang cuba untuk merosakkan negara dan menipu rakyat,” katanya.
Pada 15 Feb lalu, Dr Mahathir dalam suratnya kepada pengundi Johor mengatakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor telah dirancang oleh kumpulan yang dikenali sebagai ‘kluster mahkamah’ dan kleptokrat dari Umno.
Susulan itu, Najib bertindak menyindirnya dalam satu hantaran di Facebook dan berkata bila Dr Mahathir mula ratib namanya bermakna beliau sudah benar-benar pulih.