Wan Fahysal tak mengaku lebih 50% keahlian Bersatu bukan dari Umno

Wan Fahysal tak mengaku lebih 50% keahlian Bersatu bukan dari Umno

LEBIH 50 peratus keahlian Bersatu terdiri daripada mereka yang masih ‘segar’ sebelum terjun kali pertama ke arena politik negara.

Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fahysal Wan Ahmad Kamal berkata, majoriti Ahli Bersatu tidak pernah menjadi ahli mana-mana parti terutamanya Umno.

Katanya, saranan untuk membubarkan parti itu sekali gus ahlinya kembali ke pangkuan Umno tidak relevan, malah tidak adil.

Ini kerana beliau berkata Bersatu yang dibentuk hari ini telah dipilih oleh mereka yang pertama kali menjadikan parti itu sebagai platform terlibat dalam arena politik.

“Untuk pengetahuan Datuk Seri Zahid, lebih 50 peratus keahlian Bersatu bukan berasal dari Umno.

“Jadi macam mana nak kembali ke pangkal jalan, memang tidak boleh. Jadi macam mana dia boleh berkata begitu,” katanya kepada Malaysiapost, hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad Fahysal berkata, kebanyakan ahli Bersatu terdiri daripada golongan muda yang sebelum ini memang tidak pernah menyertai mana-mana parti lain.

“Lihatlah pada Armada sayap Bersatu ini, hampir 100 peratus ahli Armada tidak pernah menjadi ahli parti lain sebelum ini, termasuklah saya sendiri.

“Saya sendiri terjun dalam politik melalui Bersatu iaitu parti pertama yang saya sertai. Justeru saya tak nampak di mana relevannya ajakan Datuk Seri Zahid itu,” katanya.

Semalan, Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyarankan supaya Bersatu dibubarkan dan pemimpin serta ahlinya kembali ke pangkuan Umno.

Perkara itu dinyatakan Ahmad Zahid jika benar Bersatu benar-benar jujur dan ikhlas menjalinkan kerjasama dengan Umno dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.

“PPBM adalah parti serpihan Umno yang ditubuhkan oleh mereka yang kecewa gagal menguasai Umno untuk kepentingan kendiri, kemudian bersekongkol dengan Pakatan Harapan/DAP untuk menjatuhkan Umno dalam PRU14 melalui propaganda, fitnah dan penipuan dilemparkan ke atas pimpinan Umno.

“Mungkin Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan akar umbi Umno akan berlembut hati untuk menerima mereka semula,” kata Zahid.