Wanita ini didakwa konon ‘mengidam’ rompak kedai emas

Wanita ini didakwa konon ‘mengidam’ rompak kedai emas

Seorang wanita hamil tujuh bulan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini atas pertuduhan cubaan merompak sebuah kedai emas pada minggu lalu.

Tertuduh, Norraniza Muhamad Puslam, 35, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman sambil menangis teresak-esak sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang hadir berbaju kurung kelabu didakwa cuba melakukan rompakan terhadap Nur Rabeatul Addawiyah Rasul, 16.

Kesalahan itu dikatakan berlaku di sebuah kedai emas Daz Jewellery Mydin Ayer Keroh, Melaka Tengah, kira-kira pukul 4.45 petang pada 20 Disember lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Terdahulu, tertuduh yang hamil anak ketiga diwakili peguamnya, Ilya Shahar merayu jaminan rendah kerana tertuduh sedang hamil tujuh bulan selain perlu menanggung dua anak, ibu bapa dan adiknya yang masih belajar.

Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Hakim Zamri pula mencadangkan jaminan RM15,000 dengan dua penjamin.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah kemudiannya menetapkan ikat jamin RM4,000 dengan dua penjamin.

Kes akan disebut semula 10 Februari ini untuk serahan dokumen.

Pada 22 Disember lalu, media melaporkan polis berjaya memberkas seorang wanita berjubah yang cuba merompak sebuah kedai emas berkenaan pada 20 Disember lalu.

Tangkapan terhadap suspek yang bekerja sebagai pegawai sumber manusia di sebuah syarika swasta di sini dibuat kira-kira pukul 5 petang di sebuah rumah di Kampung Kuala Linggi, Masjid Tanah.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, ibu kepada dua orang anak itu mendakwa berbuat demikian disebabkan perasaan mengidam untuk mencuba melakukan sesuatu yang ekstrem.