Wanita ini kata kerajaan acah-acah bergaduh pejuang UEC padahal menyokong

Wanita ini kata kerajaan acah-acah bergaduh pejuang UEC padahal menyokong

Pemimpin negara dinasihat tidak terlalu lunak mengikut kehendak pejuang Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) – yang sukatan pelajarannya berkiblatkan Taiwan dan menganggungkan sejarah negara luar sehingga menggadaikan bangsa sendiri.

Pengasas Pusat Kecemerlangan Pendidikan Ummah (PACU), Hajah Widad Asnawi menyifatkan, pemimpin hari ini tidak serius memperjuangkan UEC dengan membiarkannya berlalu tanpa rasa bersalah.

“Pemimpin kita terlalu lunak sedangkan UEC menggunakan sejarah luar, jadi kenapa perlu kita nak belajar sejarah lain, ini melibatkan tanah air kita sendiri, isu negara, keselamatan dan apa yang nak kita lahirkan untuk pembangunan negara kita.

“Pemimpin hari ini dilihat bersungguh sekadar luaran sahaja, mereka acah bergaduh mempertahankan, padahal sokong demi kepentingan politik, kalau kita tengok dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pernah memberi jaminan untuk iktiraf UEC sekiranya Barisan Nasional (BN) menang di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam Wawancara PEMBELA yang bertajuk ‘UEC Jangan Gadai Maruah Negara & Identiti Nasional’ yang ditayangkan secara langsung di Facebook PEMBELA, malam semalam.

Tegas Hajah Widad lagi, isu UEC kini dilihat seperti bahan dagangan sehingga sanggup mewujudkan proses tawar-menawar.

Sehubungan itu, beliau berharap, pemimpin negara bertegas serta berani dalam memperjuangkan isu berkenaan dengan sepenuh hati demi generasi masa depan.

Malah, beliau menyifatkan pemimpin yang menyokong UEC sebagai pengkhianat negara dan pencabul pendidikan negara.

“Kita sebagai rakyat mengharapkan pemimpin ikut undang-undang sedia ada dan bukannya ubah dasar pendidikan yang sedia ada,” katanya, lapor Ismaweb.net.

Beliau turut mempersoalkan kenapa pemimpin hari ini tidak boleh menjadi sumber ikutan kepada Perlembagaan yang menjunjung bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan seperti tercatat dalam perkara 152 (1).