Wanita sanggup ‘upload’ gambar dah mati sebab tak mahu bayar hutang

Wanita sanggup ‘upload’ gambar dah mati sebab tak mahu bayar hutang

Semata-mata demi mengelak dari membayar hutang sebanyak 4.2 juta rupiah (RM1,184), seorang wanita di Aceh, Indonesia sanggup berpura-pura ‘meninggal dunia’.

Liza Dewi Pramita yang berhutang dengan Maya Gunawan dilaporkan bertindak memuat naik gambarnya yang ‘mati’ di Facebook dengan meminta anaknya membungkus dirinya dengan kain kafan.

Dia sebelum itu berjanji untuk melangsaikan hutang tersebut sebelum 20 November yang lalu namun gagal kerana dikatakan mengalami masalah kewangan serta meminta tempoh penangguhan pembayaran semula.

Selepas beberapa minggu tertangguh, Liza akhirnya senyap dan tidak menjawab sebarang mesej sebelum berita mengenai kematiannya tiba-tiba tersebar.

Maya yang terkejut dengan berita tersebut kemudiannya berusaha untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai ‘kematian’ Liza yang dikatakan secara tiba-tiba.

Menurut anaknya, Liza ‘meninggal’ akibat kemalangan ketika melalui jambatan di sebatang sungai dan jenazah ibunya itu dikebumikan jauh dari kediaman mereka.

Maya yang masih tidak berpuas hati dan ragu-ragu kemudiannya bertindak untuk menyiasat gambar-gambar ‘kematian’ Liza yang dimuat naik dalam Facebook tersebut.

Gambar-gambar ‘jenazah’ Liza menjadi tular di Indonesia apabila penipuannya itu akhirnya berjaya dibongkar oleh Maya.