Wanita terkejut jumpa ular dalam kereta semasa memandu

Wanita terkejut jumpa ular dalam kereta semasa memandu

Seorang wanita berdepan dengan detik cemas dan terpaksa memberhentikan kenderaanya di lorong kecemasan Kilometer 26.7 Lebuh raya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) kerana panik terlihat ular di dalam kereta.

Disedari oleh anggota JPJ

Memetik laporan Sinar Harian, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor menerusi hantaran di Facebook memaklumkan insiden berlaku kira-kira jam 6 petang pada Ahad (8 Mei) itu disedari oleh anggota JPJ yang sedang membuat rondaan di lokasi berkenaan.

Menerusi kenyataan itu, pasukan peronda yang diketua Ahmad Khairuddin Khalid @ Othman bersama dua anggota telah bertindak untuk melakukan pemeriksaan terhadap kenderaan tersebut.

Ular jenis tedung dijumpai

“Pemandu kenderaan dan anaknya keluar daripada kenderaan dan memaklumkan terdapat seekor ular di bahagian letak kaki pemandu dan meminta bantuan JPJ untuk mencari ular tersebut.

“Setelah memeriksa kereta tersebut, ular jenis tedung telah dijumpai dan berjaya dikeluarkan daripada kenderaan,” jelasnya dalam kenyataan di Facebook.

Tambahnya lagi, pemandu berkenaan turut mengucapkan terima kasih atas keperihatinan serta tindakan pantas yang dilakukan oleh pihak anggota JPJ yang bertugas.