Wow! Beckham bakal jadi pemilik Manchester United?

Wow! Beckham bakal jadi pemilik Manchester United?

Susulan dari pengesahan oleh pemilik Machester United untuk menjual kelab berkenaan, bekas bintang kelab tersebut, David Beckham dilaporkan berminat untuk membelinya.

Beckham ketika ini dikatakan bersedia untuk terlibat dalam perbincangan dengan mana-mana pembida berhubung pengambilalihan kelab tersebut.

Pemain legenda England itu pada hakikatnya tidak mampu untuk membeli bekas kelabnya tersebut secara individu, tetapi bersedia untuk menyertai mana-mana konsortium.

Menurut laporan Financial Times, sesiapa sahaja pembida yang berminat untuk membeli Manchester United seharusnya membawa bersama bekas bintang England itu untuk memastikan usaha mereka berjaya.

Jim Ratcliffe, seorang hartawan Britain khabarnya disebut-sebut antara pembida yang berpotensi untuk membeli kelab tersohor tersebut.

Tidak mustahil Beckham memilih untuk menyokong bidaan Ratcliffe jika hartawan itu bersedia untuk mendapatkan pertolongannya.

Hampir sedekad berada di Old Trafford, Beckham berjaya membantu Red Devils untuk meraih enam gelaran Liga Perdana, dua Piala FA dan gelaran Liga Juara-Juara.

Di bawah pengurus Alex Ferguson, Beckham telah menjaringkan 85 gol dan membantu mencipta 109 jaringan daripada 388 perlawanan.

Harga yang diletakkan untuk membeli kelab tersebut dijangka antara 6 hingga 8 bilion pound, namun menurut sumber, Ratcliffe hanya menawarkan bidaan tidak lebih dari 5 bilion pound sahaja.