Wow! Kuala Lumpur jadi destinasi kedua paling popular di dunia!

Wow! Kuala Lumpur jadi destinasi kedua paling popular di dunia!

Data baharu daripada Airbnb mendedahkan bahawa Kuala Lumpur menduduki tempat kedua destinasi paling sohor di kalangan pelancong antarabangsa bagi suku ketiga (Q3) 2022 mendahului destinasi-destinasi pelancongan popular yang lain.

Menerusi senarai yang dikeluarkan Airbnb, Kuala Lumpur yang berada di belakang Kuta, Bali (Indonesia) berjaya mengatasi beberapa bandar raya popular di dunia seperti Sydney serta Melbourne (Australia), Bangkok (Thailand), Malaga (Sepanyol) dan banyak lagi.

Kedudukan 10 destinasi global paling sohor bagi Q3 (merangkumi Asia, Amerika Selatan dan Eropah) :

  1. Kuta, Indonesia
  2. Kuala Lumpur, Malaysia
  3. Itapema, Brazil
  4. Angra dos Reis, Brazil
  5. Bangkok, Thailand
  6. Sydney, Australia
  7. Singapura, Singapura
  8. Málaga, Sepanyol
  9. Melbourne, Australia
  10. Bandar Pattaya, Thailand

Menurut Pengurus Besar Airbnb untuk Asia Tenggara, India, Hong Kong dan Taiwan, Amanpreet Bajaj, pembukaan semula ekonomi di lebih banyak negara tahun ini melonjakkan permintaan dalam kalangan pengembara antarabangsa yang ingin berhubung semula dengan orang tersayang atau melawat kembali destinasi kegemaran masing-masing.

“Ianya amat mengujakan kerana Malaysia, dengan pelbagai tawarannya yang luar biasa, daripada alam semula jadi yang menakjubkan kepada budaya yang kaya dan sajian yang lazat, merupakan pilihan utama pengembara antarabangsa apabila perjalanan kian memulih.”

Tambah kenyataan itu lagi, tempat penginapan paling popular dan menjadi pilihan rakyat Malaysia adalah yang yang menawarkan pemandangan hebat dan dilengkapi kolam renang.

Pelancongan dalam negara tetap popular di kalangan rakyat Malaysia

Walaupun minat untuk melancong ke luar negara meningkat pada tahun ini, perjalanan domestik tetap popular dalam kalangan rakyat Malaysia.

Ipoh meraih tempat teratas sebagai destinasi no 1paling popular di Airbnb dalam kalangan rakyat Malaysia pada Q3 2022, diikuti bandar Kuching, Kuala Lumpur, Kota Kinabalu dan Genting Highlands.

Katanya, selaras dengan revolusi perjalanan terbesar yang pernah dilihat dunia, Airbnb menampilkan cara baharu untuk pengembara mencari penginapan percutian mereka melalui Kategori Airbnb.

Dengan lebih 300 juta paparan di seluruh dunia sejak pelancarannya pada bulan Mei, lima Kategori Airbnb tertinggi di Malaysia mengikut median pendapatan pada Q3 2022 adalah:

  • Pemandangan hebat
  • Bermain golf
  • Kolam hebat
  • Tepi pantai dan tropikal.

“Berikutan keinginan untuk melancong yang kian meningkat, rakyat Malaysia kini merancang percutian luar negara mereka dengan semangat baharu,” katanya.

Bangkok dan Paris jadi destinasi antarabangsa pilihan

Bagi destinasi antarabangsa pula, lima destinasi yang menjadi pilihan rakyat Malaysia adalah

  1. Bangkok, Thailand
  2. Paris, Perancis
  3. Melbourne, Australia
  4. Greater London, United Kingdom
  5. Seoul, Korea Selatan