Wow! Sajat tukar nama, kini dikenali sebagai Bella
Selepas berjaya melarikan diri ke Bangkok, Thailand, usahawan kosmetik dalam buruan, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman, 36, atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat dilaporkan menggunakan nama popular terbaharunya, Bella.
Nama glamor itu terkenal dalam kalangan rakannya yang juga dilaporkan berperwatakan seperti Nur Sajat.
Sumber memaklumkan Skuad Khas Harian Metro bahawa hasil risikan dilakukan pihaknya, Nur Sajat kini ‘berlagak’ dengan kad pelarian Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) yang dikeluarkan ibu pejabat badan itu di Bangkok.
“Dia naik ‘tocang’ juga sebab dibantu negara tertentu dan pihak UNHCR di Thailand. Biarpun dalam proses pemantauan pihak imigresen negara itu yang mana dia perlu melaporkan diri setiap 14 hari, tetapi Nur Sajat dilaporkan aktif beraktiviti di negara itu selepas dibebaskan dari tahanan.
“Kebanyakan aktiviti dilakukannya di dalam kondominium mewah itu. Sesekali kita dapat laporan Nur Sajat keluar bersama rakan-rakan yang membantu dan melindunginya,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, sumber sama berkata, Nur Sajat sebelum ini menggunakan pembantunya di Malaysia untuk mengelirukan pihak berkuasa yang memburunya selepas gagal hadir ke mahkamah di Shah Alam, Selangor.
“Dia gunakan pembantu untuk muat naik statusnya di Instagram konon ada di Danga Bay, Johor pada 28 Ogos lalu.
“Dia sangat licik, perkongsiannya itu kemudian dipetik portal media. Kita percaya itu hanya tindakannya untuk mencabar pihak berkuasa negara ini kerana kita sudah dapat maklumat dia lolos ke Thailand pada awal Mac lalu,” katanya.
Harian Metro semalam melaporkan misteri ‘kehilangan’ usahawan Nur Sajat kini terjawab apabila dia dilaporkan sudah ditahan pihak imigresen Thailand pada 8 September lalu hasil maklumat pihak berkuasa Malaysia.
Untuk rekod, Nur Sajat ditahan di sebuah kondominium mewah di Bangkok bersama seorang lelaki warga Thailand yang juga berperwatakan wanita ketika serbuan pihak imigresen pada jam 6 petang waktu Thailand.
Pada 9 September lalu, atas kesalahan itu, Nur Sajat didakwa di mahkamah namun dia dibebaskan keesokannya dengan jaminan AS$2,000 (RM8,343) yang dibuat seorang warga tempatan.
Nur Sajat kini diarahkan melaporkan diri ke Ibu Pejabat Imigresen Thailand setiap 14 hari dan ketika ditahan, dia yang sudah menjadi pemegang kad UNHCR mendakwa mahu berpindah ke Australia selepas diburu pihak berkuasa Malaysia dan diugut bunuh kerana umum keluar daripada Islam.
UNHCR Bangkok dilaporkan sudah menyediakan peguam untuknya dan sedang membantu Nur Sajat berurusan dengan Kedutaan Australia di Bangkok untuk dipindahkan ke negara berkenaan.
Difahamkan, usaha sedang giat dijalankan pertubuhan dan negara tertentu untuk menghalang Malaysia membawa pulang Nur Sajat ke negara ini untuk dibicarakan.
Tindakan seperti cabar pihak berkuasa
Usahawan kosmetik Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau Nur Sajat dilihat masih aktif di media sosial apabila memuat naik video mempromosikan produknya pagi semalam.
Tindakannya itu seperti seolah-olah mencabar pihak berkuasa negara ini selepas dia berjaya meloloskan diri ke Thailand.
Semakan wartawan Skuad Khas Harian Metro mendapati video berdurasi satu minit di aplikasi TikTok itu menunjukkan Nur Sajat melakukan tarian dipercayai di tempat persembunyiannya di Bangkok, Thailand berdasarkan latar belakang dalam video berkenaan.
Video sama turut dimuat naik di laman Instagram menggunakan nama nursajatgold02 kira-kira jam 8 pagi, semalam.
Perkongsian video itu mendapat perhatian warganet yang meninggalkan pelbagai komen mengenai lokasi Nur Sajat tinggal dan penahanannya.
Sementara itu, usaha Skuad Khas Harian Metro menghubungi Nur Sajat gagal, malah individu yang menjawab pertanyaan menerusi nombor telefon yang tertera di media sosialnya juga mendakwa ia bukan milik Nur Sajat.
“Saya bukan Nur Sajat mak cik pak cik, maaf sangat,” balas individu itu di aplikasi WhatsApp.