Zahid bawa fail bertimbun, Hadi dicabar sumpah laknat
PRESIDEN PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dicabar untuk melakukan sumpah laknat bahawa dirinya menjadi saksi kejadian pertemuan ‘fail bertimbun’ antara Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan Presiden Kelab Pendokong Penyatuan Ummah Malaysia, Datuk Zamil Ibrahim, berkata kesanggupan Presiden Umno itu untuk melakukan sumpah laknat menafikan dakwaan Muhyiddin, menyebabkan Abdul Hadi patut melakukan perkara sama sebagai saksi pertemuan tersebut.
“Kita dikejutkan baru-baru ini Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bawa fail bertimbun untuk ‘settle’ kes dan Muhyiddin kata dia ada saksi iaitu Azmin Ali dan Tuan Guru Abdul Hadi.
“Semalam Datuk Seri Zahid mengatakan beliau sanggup bersumpah laknat menafikan perkara itu. Beliau juga minta Muhyiddin melakukan perkara yang sama untuk bersumpah laknat,” katanya kepada Malaysiapost, hari ini.
Menurut Zamil, Presiden PAS itu layak untuk melakukan sumpah laknat berbanding Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sekali gus mengesahkan beliau sebagai saksi pertemuan itu.
“Cuma hari ini, saya terpanggil untuk meminta saksi yang dikatakan Muhyiddin itu berada bersama, kalau nak suruh Azmin Ali bersumpah, dia punya kes hari tu pun tak setel lagi. Tak sesuai.
“Sebagai orang yang dikatakan suci, baik, jadi saya cadangkan, saya desak Haji Hadi dapat bersumpah laknat bahawa kamu ada bersama Muhyiddin ketika Zahid Hamidi berjumpa dan bawa fail bertimbun untuk setel kes ini,” katanya.
Sebelum ini, Muhyiddin mendakwa beliau menghadapi kesukaran melaksanakan tanggungjawab sebagai Perdana Menteri kerajaan Perikatan Nasional (PN) dahulu.
Katanya, meskipun mendapat sokongan daripada Ahli Parlimen Umno yang kluster mahkamah menjadi Perdana Menteri, namun beliau sering didesak untuk masuk campur sekali gus membebaskan mereka daripada pertuduhan di mahkamah.
Jelas Muhyiddin, Zahid ada melakukan pertemuan dengannya beberapa hari selepas beliau dilantik menjadi Perdana Menteri dengan membawa fail bertimbun untuk meminta kes mahkamah yang dihadapinya di selesaikan.