Zahid ‘menganjing’, menteri besar PN kecundang seorang demi seorang

Zahid ‘menganjing’, menteri besar PN kecundang seorang demi seorang

TINDAKAN Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengatakan ‘podah’ kepada Umno jika menyangkakan Johor adalah kubu kuat Umno, dibalas dengan sindiran pedas oleh Pengerusi Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), berkata parti pimpinan Presiden Bersatu itu sendiri berantakan serta sedang mengalami perpecahan dan kekalahan.

“Podah katanya pada orang, parti sendiri berantakan. Menjadi kolam katak berenang. Podah katanya pada orang, kerusi sendiri dilepaskan. Gusar tewas di tangan lawan.

“Podah katanya pada orang, Menteri Besarnya kecundang lepas seorang demi seorang.Podah katanya pada orang ibarat mengata dulang paku serpih menghina orang mereka yang lebih,” sindirnya dalam satu hantaran di Facebook.

Beliau berkata demikian susulan ucapan Muhyiddin di ceramah Pentas PN DUN Tenggaroh baru-baru ini yang mengungkapkan perkataan ‘podah’ mengenai dakwaan kononnya Johor merupakan kubu kuat Umno.

Muhyiddin berkata, Umno telah tumbang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu termasuk hilang kuasa di Putrajaya.

Katanya, untuk itu kepada yang masih menganggap Johor masih kubu kuat Umno, perkara itu sudah tidak relevan kerana BN dan Umno sudah pun dikalahkan sebelum ini.