Zuraida u-turn, harap dapat kekal jadi menteri

Zuraida u-turn, harap dapat kekal jadi menteri

AHLI Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin masih berharap kekal sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi menerusi perjumpaannya dengan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dijadualkan berlangsung dalam masa terdekat.

Zuraida berkata, harapan itu supaya segala program serta perancangan dimulakan menerusi kementerian diterajuinya itu dapat disempurnakan termasuk beberapa program yang sedang dalam peringkat pelaksanaan.

“Perdana Menteri sudah umumkan, satu dunia sudah tahu (mengenai perjumpaan). Saya mengharapkan berita baik. Ya, kekal jawatan itu (menteri).

“Untuk habiskan program atau perancangan yang saya mulakan dan untuk stabilkan negara,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Enhancing Empowerment of Women di sebuah hotel di Sungai Siput, hari ini.

Khamis lalu, media melaporkan Perdana Menteri akan bertemu Zuraida minggu depan bagi membincangkan kedudukannya sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi susulan tindakan Zuraida mengumumkan keluar daripada Bersatu dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).